Suami isteri dan anak saudara bawah umur tak mengaku dera dua beradik - Utusan Malaysia

Suami isteri dan anak saudara bawah umur tak mengaku dera dua beradik

SALAH seorang tertuduh (baju merah) yang didakwa mendera dua beradik berusia tiga dan dua tahun di Mahkamah Sesyen di Johor Bahru, Johor.. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang pengasuh bersama suami serta anak saudara perempuan mereka didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, atas dua pertuduhan mendera dua beradik lelaki berusia tiga serta dua tahun, bulan lalu.

Tertuduh, Fazelina Mohd. Lias, 37; Mansor Saat, 57; dan remaja yang berusia 13 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Mengikut kedua-dua kertas pertuduhan, ketiga-tiganya yang secara bersama-sama menjaga dua beradik itu dituduh menganiaya dua kanak-kanak berkenaan sehingga menyebabkan mereka mengalami kecederaan fizikal.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Taman Bukit Kempas, di sini, kira-kira pukul 3 petang pada 10 Jun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Bagi perbuatan itu, mereka boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan dan hukuman tambahan mengikut Seksyen 31(2) iaitu bon berkelakuan baik selama tempoh serta syarat ditetapkan mahkamah selain melaksanakan khidmat masyarakat.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyyum Ramlan manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Muhammad Qaiyyum kemudian menawarkan jaminan masing-masing sebanyak RM20,000 terhadap Fazelina dan suaminya, manakala remaja perempuan itu dijamin sebanyak RM5,000, selain memohon syarat tambahan supaya ketiga-tiga tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Sementara itu, Fazelina membuat rayuan kepada mahkamah untuk mengurangkan jumlah jaminan ekoran dia tidak bekerja dan merupakan suri rumah, manakala suaminya memohon jaminan dikurangkan kerana pendapatan bulanan sebagai pemandu lori sebanyak RM1,600 sahaja selain menanggung seorang anak.

Remaja berusia 13 tahun itu pula hanya terkedu membisu apabila diminta mahkamah membuat rayuannya.

Mahkamah kemudian memerintahkan pengasuh berkenaan dan suaminya dijamin RM8,000 dengan seorang penjamin, manakala ibu bapa remaja itu diperintahkan membayar jaminan sebanyak RM1,500 dengan seorang penjamin.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 22 Ogos ini untuk penyerahan dokumen termasuk laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pada 18 Jun lalu, akhbar melaporkan seorang pengasuh, suami serta anak saudaranya ditahan polis kerana disyaki terbabit mendera dua beradik sejak awal bulan lalu termasuk dipukul, disepak dan dipijak oleh pengasuhnya, malah kedua-dua mangsa juga dilaporkan pernah dilihat didera oleh pengasuh dan ahli keluarganya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya