Kasihan Poklip mendengar cerita si polan seorang ini. Teresak-esak juga dia mengadu dan bercerita. Sebagai sahabat, selain bantuan wang ringgit, bahu untuk bersandar juga penting ya semua.
Bukan apa, kadang-kadang mungkin semuanya terlihat manis. Kalau dalam media sosial, senyuman menjadi tatapan semua. Namun siapa tahu di sebalik wajah itu, tersimpan seribu satu kisah menyayat hati.
Kisahnya, si polan tadi mengadu dia cukup tertekan bekerja dengan sebagai pembantu peribadi kepada seorang artis. Tetapi bukan artis itu bermasalah, cuma mungkin ‘politik’ industri cukup mengerikan.
Dakwanya, acap kali juga dia disuruh untuk melakukan itu ini walaupun bukan tugasnya untuk diarah-arah begitu. Namun atas dasar mahu menjaga nama baik artis yang diuruskan, terpaksa juga dia palsukan senyuman.
Poklip tanya juga, dia pernah berbincang soal itu dengan artis tersebut? Yalah, sekurang-kurangnya artis berkenaan boleh mempertahan atau tidak membenarkan dia melakukan sesuatu di luar bidang tugasnya.
Namun jelas si polan, dia tidak mahu merosakkan nama artis tersebut. Sementelah, artis yang dijaganya itu baru mahu merasa populariti. Jadi dia tidak mahu menjadi sebab orang kurang senang dengan majikannya.
Aduh, habis kenapa tidak berhenti sahaja? Yalah daripada hidup tertekan baik angkat kaki. Tapi di kala dunia berdepan pandemik, berhenti kerja bukan langkah bijak. Silap hari bulan makan pasir berlauk rumput dia nanti.
Nasihat Poklip, kesihatan mental dan emosi juga perlu dijaga. Kalau sampai sudah burn out, apa pun tak boleh buat. Takut juga baca berita pelbagai kisah menyayat hati akibat tertekan dengan desakan hidup. Minta simpang!