HULU TERENGGANU: Terharu melihat pengorbanan ibunya menyara kehidupan keluarga dengan menjual air soya di pasar tani memberi kekuatan semangat buat Ishak Rukman, 20, hingga mampu meraih keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020.
Lebih istimewa, Ishak merupakan pelajar lelaki pertama di Kolej Tingkatan Enam Hulu Terengganu yang memperoleh purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.00 sejak institusi itu mula dibuka pada 2016.
Menurut Ishak, kejayaannya itu adalah hadiah untuk ibu, Umatillah Embong, 52, yang banyak berkorban untuk mereka lima beradik sejak pemergian bapanya akibat serangan jantung, dua tahun lalu.
“Sejak itu, ibu memikul tanggungjawab mencari rezeki dengan meneruskan berniaga air soya di pasar tani dan pasar malam di Kuala Ping yang turut dibantu saya serta adik-beradik lain.
“Saya tidak pernah mendapat keputusan semua A dalam peperiksaan, jadi saya berazam untuk membuat yang terbaik dalam STPM dan keputusan cemerlang ini adalah hadiah untuk ibu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kuala Ping di sini semalam.
Ishak berkata, sokongan guru-guru di sekolah juga banyak membantu meningkatkan semangatnya untuk belajar bersungguh-sungguh bukan sahaja dari segi perkongsian ilmu malah sumber kewangan.
Ishak turut menghias satu sudut di bilik tidurnya bagi mewujudkan suasana kondusif semasa sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
“Saya bercadang untuk menyambung pelajar ke Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang ekonomi dan sekali gus mencapai cita-cita sebagai pakar motivasi,” katanya.