JOHOR BAHRU: Lelaki yang beraksi ala ‘Spiderman’ dan ditahan penduduk kerana dipercayai mahu melakukan kegiatan jenayah disahkan sebagai orang dikehendaki polis dengan memiliki 18 rekod jenayah lampau.
Lelaki berkenaan ditahan di tingkat 19 kondominium Aliff Residence, Tampoi, selepas sebuah video tular menunjukkan dia memanjat bahagian luar bangunan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid berkata, suspek berusia 27 tahun itu juga didapati positif dadah jenis Methamphetamine.
Katanya, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 5.40 petang, semalam.
“Polis menerima maklumat daripada orang awam seorang lelaki ditahan selepas didakwa melakukan pencerobohan rumah kediaman bertingkat.
“Dalam penahanan itu, polis turut merampas satu peket kecil mengandungi dadah syabu seberat 430 gram, sebuah Toyota Vios, lima unit alat kawalan jauh kereta pelbagai jenama, tujuh jam tangan dan sebilah parang,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Rupiah, kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tindakan lelaki berkenaan dirakam penduduk menerusi satu video berdurasi 53 saat yang tular dalam medial sosial sekaligus menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk setempat.
Lelaki itu dilihat bertindak memanjat naik ke luar bangunan dari tingkat 14 hingga ke tingkat 18 sebelum turun semula ke tingkat 14.
Kejadian itu disedari penduduk pada pukul 4 petang semalam sebelum individu berkenaan ditahan pihak berkuasa kira-kira setengah jam kemudian. – UTUSAN ONLINE