Speaker Dewan Rakyat nafi sekat ahli Parlimen tukar tempat duduk - Utusan Malaysia

Speaker Dewan Rakyat nafi sekat ahli Parlimen tukar tempat duduk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menafikan laporan berita sebuah portal berita yang menyatakan beliau tidak membenarkan permohonan empat Ahli Parlimen UMNO untuk menukar tempat duduk sedia dalam Dewan Rakyat.

Menjelaskan perkara itu, Azhar dalam satu kenyataan berkata, beliau tidak pernah menerima sebarang permohonan daripada ahli Parlimen tersebut sekali gus menyifatkan ia adalah suatu pembohongan.

“Saya merujuk kepada portal berita itu pada hari ini bertajuk ‘Zahid, tiga lagi MP juga minta pindah kerusi ke blok Bebas’ yang melaporkan saya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak membenarkan permohonan daripada empat Ahli Parlimen UMNO untuk menukar tempat duduk sedia ada dalam Dewan Rakyat yang dikemukakan seminggu sebelum Dewan Rakyat bersidang.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya laporan berita tersebut dan ingin menyatakan bahawa saya tidak pernah menerima apa-apa permohonan daripada ahli-ahli Parlimen berkenaan. Saya anggap berita tersebut adalah satu pembohongan dan fitnah terhadap saya,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, portal berita berkenaan melaporkan selain Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, empat lagi wakil rakyat juga dikatakan meminta supaya kedudukannya di Dewan Rakyat dipindah ke blok Bebas.

Mereka ialah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk) yang juga Presiden UMNO; Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian); Datuk Ahmad Nazlan Idris (Jerantut) dan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Machang).

Dalam pada itu, Nazlan ketika dihubungi Utusan Malaysia turut mengesahkan yang beliau tidak mempunyai maklumat mengenai apa yang dilaporkan portal berita itu.

“Saya tidak ada maklumat mengenai perkara ini,” katanya ringkas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya