GEORGETOWN: Polis menahan seramai 49 individu setakat ini bagi membantu siasatan kes melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika menunaikan solat sunat Aidiladha di kawasan lapang di Taman Pelangi, Juru, dekat sini hari ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 48 warga Bangladesh dan seorang warga tempatan.
Sebelum ini polis memaklumkan sedang mengesan kira-kira 200 individu yang menunaikan solat Aidiladha di kawasan lapang berdekat surau Taman Pelangi, Juru selepas video mereka tular di laman media sosial hari ini.
Mereka yang majoritinya warga asing bertindak solat di kawasan lapang tersebut selepas surau di kawasan perumahan berkenaan sudah melebihi kapasiti jemaah iaitu 100 orang seperti dibenarkan mengikut SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE