TOKYO: Bintang badminton India, P.V Sindhu mengakui sangat tertekan untuk beraksi cemerlang dalam memburu pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Pemain berusia 26 tahun itu meraih pingat perak di Sukan Olimpik Rio 2016 akan memulakan aksi berdepan pemain Israel, Ksenia Polikarpova.
Ketiadaan Carolina Marin yang juga juara bertahan kerana kecederaan lutut, pemainn No.7 dunia itu dilihat sebagai pemain pilihan untuk merangkul kejuaraan.
“Harapan sangat tinggi dan tanggungjawab saya buat negara sangat besar.
“Saya pasti ramai akan memerhatikan saya kerana pada 2016 saya tidak dikenali tetapi kini saya dikenali dan mereka sudah mula menilai permainan saya.
“Keadaan akan menjadi sukar buat saya,” katanya.
Jika Sindhu memenangi pingat emas ia akan menjadi sejarah besar buat India dalam dunia sukan.
Tanpa kehadiran Marin, Tai TzuYing dari Taiwan, Chen Yunfei dari China dan Nozomi Okuhara bersama Akane Yamaguchi yang mewakili tuan rumah menjadi calon merebut pingat emas.-AFP