JAKARTA : Pelakon dan pengacara terkenal, Nikita Mirzani, 35, mengaku tidak mengenali lelaki berstatus suami orang yang dikenali sebagai Askara Parasady Harsono dalam tuduhan skandal dan punca keruntuhan rumah tangga Nindy Ayunda.
Menurut Nikita, dia menyedari namanya sering dikaitkan dengan pelbagai hak kontroversi tetapi mengaku tidak pernah mengenali siapa lelaki bernama Askara tersebut.
“Saya tidak pernah mengenali Askara. Kalau Askara kenal saya, wajar kerana saya seorang artis di ibukota. Bukanlah hendak berlagak sombong, tapi siapa yang tak kenal Nikita Mirzani?
“Kalau saya ke Paris, Jerman sekali pun, ada yang minta nak bergambar dengan saya. Itu menandakan betapa suksesnya Nikita di mana-mana negara,”katanya.
Nikita berkata demikian kepada media selepas ditanya mengenai kesahihan dirinya menjadi punca keretakan rumah tangga Nindy dan Askara yang dilaporkan bercerai pada 6 Mei lalu.
Selain itu, kata Nikita, dia sudah lali dengan ragam industri hiburan yang sering sahaja mengaitkan namanya dengan sebarang berita sensasi.
“Kenapa nak bersangkut-paut dengan saya? Ya gila! Kenal suaminya pun saya tidak pernah. Jadi apa dasarnya? Sudah 35 tahun hidup, saya belajar bahawa menjadi selebriti itu, kalau betul atau salah, tetap diheret juga,”katanya.
Dalam pada itu, menurut Nikita, dia yakin adat berumah tangga, akan ada sahaja masalah dan badai yang melanda namun terpulang kepada pasangan tersebut sama ada mahu tetap bertahan atau tidak.
“Namanya rumah tangga, kahwin dengan siapa sekali pun, pasti akan ada ributnya. Lihat macam mana kita tanggani. Kalau sayalah, rumah tangga bermasalah, lebih baik berpisah sahaja.
“Maka disebabkan itu juga, kalau sudah bersuami, saya tidak mahu hidup menumpang di rumahnya. Kita sebagai perempuan, punya harga diri,”katanya.