JERANTUT: Sambutan Hari Raya Aidiladha kira-kira 200 keluarga di Kampung Jerantut Feri di sini pada Selasa ini sedikit ceria apabila masing-masing menerima sumbangan seekor ayam.
Sumbangan itu daripada Jawatankuasa Bantuan Makanan Jalinan Ukhwah (JBMJU) Kampung Jerantut Feri.
Penyelaras bantuan JBMJU, Rozmizal Mat Lia berkata, jawatankuasa berkenaan tampil menyumbangkan seekor ayam kepada 200 buah keluarga di kampung tersebut tanpa mengira jurang pendapatan untuk keselesaan mereka membuat persiapan menyediakan juadah sempena Aidiladha.
“Hasil dana yang terkumpul merupakan sumbangan penduduk yang mampu dan dermawan kampung ini termasuk wakil rakyat membolehkan JBMJU membeli ayam yang siap diproses daripada pembekal yang juga turut beramal jariah mengenakan harga yang berpatutan bagi tujuan tersebut.
“Kita juga menyumbangkan bantuan barang keperluan dapur, lampin pakai buang dan susu bayi khusus kepada penduduk yang memerlukan akibat terkesan dengan pendapatan dan perbelanjaan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya di sini hari ini.
Rozmizal berkata, sumbangan barang keperluan dapur, lampin pakai buang dan susu bayi kepada penduduk yang memerlukan di Kampung Jerantut Feri dan kawasan berdekatan selagi tempoh PKP berterusan khasnya mereka yang terjejas teruk pendapatan harian.
“Kita (JBMJU) masih lagi menerima sumbangan dana dalam bentuk kewangan dan barang keperluan dapur sejak jawatankuasa ini diwujudkan tiga minggu lalu dan yakin semua bekalan mencukupi untuk penduduk yang memerlukan membuat periapan Aidiladha.
“Saya berharap penduduk yang terjejas pendapatan dan susah memerlukan barang keperluan dapur dan peralatan kebersihan diri bolehlah datang berjumpa petugas di sini mengambil di pusat bantuan JBMJU di Kampung Jerantut Feri,” katanya.
Seorang penduduk, Norjalalludin Mohd. Daud berkata, usaha murni yang dilakukan oleh sukarelawan JBMJU begitu baik dan bertepatan untuk membantu penduduk yang terkesan akibat wabak Covid-19 khususnya persiapan menyambut Hari Raya Aidiladha.
“Saya juga bersyukur dan berterima kasih kepada penduduk di sini yang mampu termasuk dermawan yang tampil beramal jariah membantu dana JBMJU sehingga dapat merealisasikan bantuan seekor ayam, barang keperluan dapur dan keperluan lain untuk
penduduk yang terjejas.
“Semoga Allah SWT melimpah ganjaran pahala kepada mereka yang bermurah hati lebih lagi sempena hari Wukuf di Arafat sebelum menyambut Aidiladha kerana setiap amal jariah termasuk kebaikan lain diterima di akhirat nanti,” katanya.