Seramai 80 ahli Parlimen dibenar hadir bagi setiap sesi sidang - Utusan Malaysia

Seramai 80 ahli Parlimen dibenar hadir bagi setiap sesi sidang

MOHD. Rashid Hasnon (kiri) beramah mesra dengan para petugas ketika hadir pada Program Jelajah Vaksin Bergerak Prihatin Johor di Dewan Serbaguna Sri Stulang di Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jawatankuasa Dewan Rakyat akan mencadangkan untuk menetapkan hanya seramai 80 ahli Parlimen dibenar hadir bagi setiap sesi persidangan yang akan bermula 26 Julai ini.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon berkata, cadangan itu akan dibincangkan bersama Ketua Whip setiap parti politik yang menjadi ahli dewan.

Menurut beliau, keputusan cadangan itu dijangka dimaklumkan pada minggu depan sebelum dewan kembali bersidang.

“Cadangan ini dibuat sama seperti persidangan tahun lalu yang menyaksikan daripada 222 kerusi Parlimen, hanya 80 dibenarkan masuk bagi satu sesi sidang.

“Tajuk-tajuk yang akan dibentangkan semasa sesi itu berkisar kepada isu berkait Covid-19. Kita bagi ruang kepada ahli Parlimen untuk bertanya soalan, cuma usul tentang persidangan secara hibrid tidak dibuat kerana kita boleh bersidang secara biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat Program Jelajah Vaksin Bergerak Prihatin Johor di Dewan Serbaguna Sri Stulang di sini semalam.

Ahli Parlimen Batu Pahat itu berkata, jawatankuasa berkenaan juga akan mencadangkan setiap sesi persidangan itu dihadiri seramai 44 ahli Parlimen kerajaan dan 36 ahli Parlimen pembangkang.

“Selain itu, menteri dan timbalan menteri juga perlu mengehadkan jumlah pegawai yang mengiringi mereka kepada seramai dua atau tiga orang.

“Persidangan kali ini akan dijalankan dengan memastikan pematuhan yang ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, kita kena kawal,” katanya.

Beliau berkata, had seramai 80 ahli Parlimen itu bagi semua sesi iaitu sesi pagi dan petang di mana mereka boleh bertukar-tukar tetapi masih perlu mematuhi SOP ditetapkan.

Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 akan diadakan selama lima hari bermula 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos ini bagi Dewan Rakyat manakala Dewan Negara pula akan bersidang selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Ogos ini.

Persidangan itu bertujuan memberi penerangan kepada semua ahli Parlimen berkenaan Pelan Pemulihan Negara dan meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN