PUTRAJAYA: Seluruh Daerah Seremban, Negeri Sembilan ditamatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPD) sebagaimana dijadualkan esok sejak ia dilaksanakan 9 Julai lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, turut ditamatkan perintah itu ialah kuarters pekerja Malaysia-China Industrial Park, Gebeng, Kuantan, Pahang termasuk dua taman perumahan di Jajahan Kota Bharu, Kelantan iaitu Taman Kurnia Jaya dan Taman Pinggiran Golf.
Menurut beliau, lima lokaliti di Sabah juga tidak disambung PKPD esok antaranya Kampung Sungai Imam, Bahagian Tawau dan Kampung Balibata, Daerah Beaufort dan tiga perkampungan dalam Bahagian Pantai Barat iaitu Kampung Pintasan dalam Daerah Kota Belud serta Kampung Lembising dan Kampung Dumpil Keramat dalam Daerah Putatan.
Bagaimanapun, katanya, sebuah perkampungan masyarakat Orang Asli dari suku kaum Semai antara empat lokaliti dikenakan PKPD iaitu Kampung Orang Asli Ruai terletak dalam Mukim Batu Talam, Raub, Pahang serta perkampungan dari suku kaum Jakun di Kampung Belangkap, Rompin berkuat kuasa Khamis hingga 5 Ogos ini.
“Tidak ketinggalan dilaksanakan PKPD di negeri sama, sebuah skim tanah rancangan persekutuan di Felda Jengka 12 atau nama baharunya, Jengka Melor, Daerah Jerantut selain di Taman Merpati dalam Bahagian Sandakan, Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, ujar beliau, Kampung Istimewa dekat Batu Sapi, Bahagian Sandakan dan Kondominium One Borneo, Daerah Kota Kinabalu, dilanjutkan lagi PKPD selama 14 hari. – UTUSAN ONLINE