PETALING JAYA: Dua figura penting di stesen radio Hot FM, Fizie dan Mark Adam, bakal meninggalkan kerjayanya sebagai penyampai radio di stesen berkenaan, mulai hari ini.
Menerusi entri Instagram, Fizie memuat naik satu hantaran video, dengan bernada sedih dia memaklumkan hari ini adalah hari terakhir sebagai penyampai radio di Hot FM.
“Berat untuk saya katakan, hari ini Isnin 19 Julai, satu tarikh yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila kerana ingin umumkan hari ini terakhir saya ke udara di Hot FM setelah hampir sembilan tahun menabur bakti di sini.
“Terima kasih kepada semua yang sudi mendengar celoteh saya setiap hari, jika ada salah silap harap dimaafkan. Maklumlah, saya ini cuma manusia biasa.
“Terima kasih semua yang pernah bertugas dengan saya kerana telah menjadi sebahagian daripada hidup saya, saya doakan kamu semua dalam keadaan yang baik dan ceria. Jaga diri baik-baik, jumpa lagi,” katanya menerusi video tersebut.
Menjengah di entri Instagram Mark pula, dia turut berkongsi satu hantaran video yang mengumumkan dia juga akan meninggalkan stesen radio berkenaan dan menitipkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang banyak memberi sokongan kepadanya.
“Terima kasih banyak kepada pendengar-pendengar Hot FM, di sini saya nak ucapkan selamat tinggal kepada Hot FM.
“Saya nak ucapkan terima kasih banyak kepada rakan-rakan di sini yang telah banyak mengajar untuk lancar berbahasa Melayu serta ilmu yang diberikan.
“Selama berada di sini, saya rasa sangat bertuah dengan kerjaya yang diberikan, tetapi hidup perlu diteruskan. Saya sayang dan cinta kepada pendengar dan rakan-rakan semua di sini,” ujarnya pilu menerusi video berkenaan.