PUTRAJAYA: Sesi persekolahan untuk Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bersemuka ditetapkan mulai 1 September ini secara berperingkat.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan memaklumkan, ini bermakna sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diteruskan sehingga 31 Ogos ini.
Katanya, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 serta perbincangan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Ketetapan ini terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM.
“KPM sentiasa bekerjasama rapat dengan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) bagi memastikan kadar vaksinasi dalam kalangan guru, pentadbir dan kakitangan sokongan di sekolah dapat terus ditingkatkan,” katanya hari ini.
Menurut KPM, sehingga semalam, seramai 253,366 guru dan pentadbir (61.3 peratus) serta 10,876 orang kakitangan sokongan (46.33 peratus) menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Justeru, mengambil kira kadar vaksinasi itu, KPM membuat ketetapan pembukaan sekolah dibuka secara berperingkat untuk PdP bersemuka mulai 1 September.
Namun begitu, KPM akan terus mengambil kira penilaian risiko oleh KKM dan MKN bagi melihat sekiranya terdapat keperluan untuk membuat perubahan terhadap tarikh tersebut.
“Sebarang perubahan akan dimaklumkan lebih awal. KPM akan memaklumkan perincian lanjut mengenai pembukaan sekolah bagi sesi PdP secara bersemuka selewat-lewatnya seminggu sebelum sekolah dibuka,” katanya. – UTUSA ONLINE