KUALA LUMPUR: Pelakon ternama, Aaron Aziz berang dengan tindakan seorang individu yang tular di media sosial selepas dipercayai mengaibkan seorang warga emas secara biadap di hadapan khalayak ramai baru-baru ini.
Aaron menerusi Instagramnya menegur individu terbabit yang disifatkan sebagai melampau dan keterlaluan.
“Salam brother. Kalau nak tolong orang, jangan korek kisah silam sesiapa. Saya tidak tahu awak siapa tetapi jaga adab awak. Dia gelandangan, penagih atau pengemis, kalau nak buat kerja kebajikan ini bukan caranya.
“Jangan jatuhkan semangat orang, pendirian dan nasib orang. Kalau awak rasa awak dihantar Tuhan untuk tolong orang susah, sekarang Allah juga boleh buat awak susah. Bagi awak ingat sikit,” tulisnya.
Individu yang dipercayai seorang influencer itu baru-baru ini dirakam seperti sedang mengherdik seorang warga emas secara terbuka di depan khalayak ramai.
Rakaman yang tular itu telah mencetuskan kemarahan ramai pihak yang rata-rata tidak bersetuju dengan tindakan individu berkenaan.