MELAKA: Pembinaan gerai berstruktur kekal untuk peniaga di Dataran 1 Malaysia Klebang dekat sini perlu disegerakan bagi mengelak kejadian khemah roboh akibat dibadai ribut kembali berulang.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata, khemah-khemah tersebut terletak berhadapan dengan pantai dan fenomena angin kencang banyak kali berlaku sehingga memusnahkan harta benda peniaga.
Jelas beliau, para peniaga ketika ini tidak boleh berniaga disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kejadian khemah roboh disebabkan ribut menambah lagi keperitan yang ditanggung.
“Kalau boleh pihak berkuasa tempatan (PBT) kenal pasti dan bina segera struktur kekal supaya mereka boleh berniaga dengan selamat dan tanpa kebimbangan. Peniaga ini terdiri daripada bumiputera dan ini sahajalah mata pencarian mereka.
“Saya juga telah meminta kertas kerja daripada wakil peniaga untuk diusulkan kepada Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin bagi mempertimbangkan sedikit wang ehsan kepada yang terjejas,” katanya di sini hari ini.
Sebanyak sembilan buah khemah peniaga rosak akibat ribut dan angin kencang yang berlaku kira-kira pukul 4 pagi tadi.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Peniaga Dataran 1 Malaysia Klebang (PPD1MK), Harith Harun memberitahu, kerugian dianggarkan adalah sebanyak RM18,000 dan kejadian tersebut adalah yang keenam sejak 2014.
Menurutnya, perbincangan peniaga bersama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) telah mencapai kata sepakat untuk membina struktur kekal, tetapi tertangguh kerana pandemik Covid-19.
“Pelan kami dah hantar dan setahu saya cadangan pembinaan struktur kekal ini dah lulus. Jadi kami menunggu tarikh pelaksanaan sahaja.
“Kami berharap pembinaan ini disegerakan kerana sudah banyak kali kejadian ini berlaku. Tambahan pula kami langsung tidak boleh berniaga ketika ini, bagaimana hendak cari modal untuk membaiki dan membina khemah baharu,” katanya.