IPOH: Secara teknikalnya kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudang tumbang selepas UMNO menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri semalam.
Pakar Perlembagaan, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, apa yang ada sekarang adalah kerajaan sementara untuk menunggu pembentukan kerajaan baharu.
“Kerajaan baharu ini akan mentadbir hingga tamat tempoh Parlimen yang ada sekarang,” katanya kepada Utusan Online.
Menurutnya, berikutan itu blok terbesar ketika ini adalah di bawah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan 89 Ahli Parlimen.
“Sebab itu beliau berhak diberi peluang untuk membentuk kerajaan,” katanya.
Semalam, UMNO menuntut Tan Sri Muhyiddin Yassin mengundur diri daripada jawatan Perdana Menteri.
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membuat keputusan bahawa tempoh memberikan sokongan kepada Perdana Menteri ditarik balik dan ditamat serta-merta. – UTUSAN ONLINE