‘Sebelum pergi kerja, ayah toleh ke rumah, itu pandangan terakhir’ - Utusan Malaysia

‘Sebelum pergi kerja, ayah toleh ke rumah, itu pandangan terakhir’

SAID Saip kelihatan sedih bersama tiga orang cucunya, Muhammad Saiful Azam, Nor Shahzliana, 11 (kiri) dan Thaqif Aidil, 9, di Port Dickson. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: “Ayah nampak lain, sebelum bergerak ke tempat kerja, dia sempat menoleh dan memandang rumah,” kata Muhammad Shaiful Azam Sharul Nizwan, 13.

Anak sulung kepada Sharul Nizwan Said, 33, itu juga berkata, suara bapanya itu agak perlahan sebelum ke tempat kerja di Jimah Energy Ventures (JEV) Sdn. Bhd, Chuah dekat sini, namun tidak memberikan apa-apa pesanan kepadanya.

“Ayah tidak macam biasa, sebelum dia ke tempat kerja menaiki motosikal dia sempat memandang ke arah rumah.

“Suara ayah agak perlahan petang semalam (kelmarin) tapi dia tidak pesan apa-apa kepada saya,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Utusan Online hari ini melaporkan seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut bersama lori lima tan yang dipandunya secara mengundur terjunam ke laut dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi tadi.

Sharul Nizam pada ketika itu dikatakan sedang melakukan kerja-kerja pembersihan sisa arang batu di Jeti Coal Unloading Edra Energy Jimah Power Plant, JEV Sdn. Bhd., Chuah dekat sini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, menurut saksi, kejadian berlaku pada pukul lebih kurang 1.30 pagi di mana pada ketika itu, kerja-kerja sedang dijalankan di jeti nombor 5 untuk mengangkut arang batu yang terjatuh di atas lantai jeti.

“Saksi hanya mendengar bunyi dentuman kuat dan telah bergegas ke tepi jeti tersebut dan mendapati lori yang dipandu telah terbabas ke dalam laut.

“Saksi telah cuba membuang ‘buoyant’ ke permukaan namun tidak berjaya dan terus menghubungi Balai Polis Bukit Pelandok untuk mendapatkan bantuan bomba dan lain-lain agensi,” katanya.

Setakat pukul 5 petang tadi, operasi mencari dan menyelamat terus dilakukan oleh anggota daripada pelbagai agensi.

Sharul Nizwan mempunyai empat orang anak berusia 13 hingga lima bulan hasil perkahwinan dengan Siti Fatimah Zaidan, 36.

Dalam pada itu, bapa mangsa, Said Shaip, 68, berkata, dia amat sedih dengan berita menimpa anaknya.

“Dia banyak membantu saya, kadangkala dia berikan duit belanja untuk saya dan sering membantu keluarga walaupun dia sendiri mengalami masalah kewangan.

“Saya amat sedih. Sebelum dihubungi oleh menantu tentang kejadian ini, saya memang berdebar dan rasa tidak sedap hati,” katanya.

Dia juga memberitahu, anaknya itu juga baru sahaja dua bulan bekerja di situ.

“Saya amat sedih esok juga merupakan hari raya haji dan tidak sangka terjadi hal begini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya