LOS ANGELES : Pelakon terkenal, Scarlett Johansson, 36, mengaku tidak pernah mengetahui siapakah sebenarnya ejen Rusia bergelar Black Widow meskipun ia adalah antara watak yang paling dekat dengannya sejak menyertai pasukan Avengers untuk filem francais Marvel Cinematic Universe (MCU).
Menurut Scarlett, hanya apabila terlibat dalam filem terakhir Avengers yang mempamerkan lakonan solonya menerusi judul Black Widow baru-baru ini ,maka segala persoalannya mengenai latar belakang watak itu terjawab.
“Saya memang tak tahu siapa Natasha Romanoff dan apakah kehidupannya sebelum Avengers. Apabila saya masuk ke set penggambaran Black Widow, barulah saya tahu oh ini adalah Red Room, dia inilah Dreykov, inilah kehidupan sebenar Natasha.
“Sebagai aktor, kita sering mencipta semua gambaran itu dalam minda dan apabila saya sendiri melihat bagaimana ia dizahirkan di set tersebut oleh semua tenaga kerja di belakang tabir termasuk barisan artis lain, ia sesuatu yang sangat hebat.
“Rumah perlindungan yang dipaparkan dalam filem itu, bayangkan bagaimana Clint Barton dan Natasha berada bersama di sebuah kawasan yang kecil dan apa sebenarnya yang berlaku di Budapest. Membongkar semuanya adalah satu pengalaman yang hebat buat saya,”katanya.
Sejak ditayangkan di seluruh dunia pada 29 Jun lalu, Scarlett juga mengakui tidak sabar untuk menerima respons semua peminat dan penonton yang menyokong kerjaya lakonannya.
“Kalau orang lain tak sabar, saya pun sama. Bagi saya, filem ini sangat unik buat Marvel kerana ia mempunyai rencah tersendiri terutama dari sudut nostalgia dan ritmanya. Saya rasa penonton akan seronok untuk menyaksikannya dan sudah tentu saya sendiri berbangga dengannya,”katanya.
Kemunculan solo Scarlett dalam filem Black Widow berjaya menyaksikan kutipan sebanyak $80 juta (RM336,040,000.00) pada minggu pertama tayangannya di Amerika Utara sekali gus menyaksikan satu rekod box office ketika pandemik ini.
Tayangan asal sepatutnya dijadualkan pada Mei 2020, namun satu pengumuman telah dibuat oleh pihak Disney untuk melancarkan Black Widow di pawagam termasuk di platform penstrimannya pada masa yang sama.
Menerusi tambahan kutipan sebanyak $78 juta (RM327,639,000.00) melalui jualan box office antarabangsa termasuk $60 juta (RM252030000.00) daripada jumlah sewaan akses Disney+ Premier, Black Widow secara keseluruhannya meraih keuntungan sebanyak $215 juta (RM903,107,500.00).