PETALING JAYA: Penyanyi dan usahawan terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri, meluahkan rasa sedih apabila melihat seorang warga emas sedang bekerja keras mengumpul tin dan botol untuk menampung perbelanjaan harian dan ahli keluarganya.
Menerusi hantaran di Instagram, penyanyi lagu Abang Nak Tegur itu mengambil inisiatif untuk membantu individu berkenaan walaupun dia mengakui pendapatannya turut terjejas teruk akibat penularan pandemik Covid-19 ini.
“Pak cik jangan sedih dan perlu kuat demi keluarga. Sayu dan sedih melihat nasib pak cik ini bersama seorang isteri yang hidup bergantung kepada tin serta botol kosong. Tetapi saya puji kerana mereka rajin mencari rezeki.
“Saya berhenti kereta dan sempat berborak, dia menyatakan dirinya tidak larat lagi kerana sudah berusia 60 tahun. Bayangkan dengan RM5 ke RM10 sehari, apakah yang boleh dilakukan? Tambah sewa rumah perlu dibayar RM200.
“Apabila saya melihat pak cik ini, amat bersimpati kerana teringat kepada arwah bapa saya yang dah tua. Sebab itulah, saya menghulurkan sedikit rezeki apa yang ada serta sokongan daripada anda semua yang membeli produk saya,” coretnya di Instagram.
Dalam pada itu, Aliff berharap video yang dimuat naiknya itu dapat menjadi inspirasi orang di luar sana agar terus cekal dan tabah dalam menghadapi ujian kehidupan pada masa kini.
“Semoga kepada mereka yang menonton video ini dapat memberi inspirasi untuk kuat dan usaha sedaya upaya.
“Walau apa pun keadaan, yang penting elakkan merompak atau mencuri. InsyaAllah, rezeki yang halal itu berkat dan bermakna,” ujarnya.