PETALING JAYA: Personaliti media sosial dan pengacara, Dr. Say Shazril, menarik balik kenyataannya yang sebelum ini tidak menggalakkan orang ramai merakam video ketika menyuntik vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Sebelum ini dia berpendapat sedemikian kerana bimbang akan melambatkan proses kerja di pusat pemberian vaksin.
Menerusi entri Instagram, pengacara Tanya Doktor itu seperti membuat pusingan U, setelah menarik semula dan membenarkan orang ramai merakam semula semasa proses vaksinasi, selepas menonton video vaksinator yang menyuntik vaksin ‘kosong’, baru-baru ni.
“Saya tarik balik, silalah rakam. Beberapa hari lepas saya ada buat status kalau boleh tidak perlu merakam video proses vaksinasi takut melambatkan kelancaran proses di PPV.
“Tetapi, walaupun Khairy Jamaluddin (KJ) dah benarkan rakam, semalam masih ada kes kelalaian pemberian vaksin. Lebih mengejutkan, kes itu berlaku semasa saya bertugas di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.
“Selepas menonton video itu, terus saya mesej empunya video berkenaan sebab dari hari pertama, saya cukup tertanya-tanya apa motif mereka yang bagi vaksin ‘angin’ ini,” tulisnya di Instagram.
Mengulas lanjut, Shazril berharap isu kecuaian dan kelalaian vaksinator tidak lagi berlaku bagi mengelakkan nama baik PPV serta petugas kesihatan tercemar.
“Tidak dinafikan semua ini leceh dan memakan masa, tetapi sebab nila bertitik-titik seperti inilah yang merosakkan susu sebelanga.
“Jika penyuntik mengikut prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan, mustahil untuk terlupa tekan. Perkara ini memburukkan nama PPV dan petugas kesihatan.
“Nasihat terakhir saya, tolong telus dalam pekerjaan anda. Kita cuba nak mencapai imuniti kelompok secepat mungkin. Maka semua silalah rakam proses vaksinasi anda,” katanya.