PETALING JAYA: Pelakon, Datin Rebecca Nur Al Islam memaklumkan suaminya, Datuk Norazam Sulaiman mengalami sesak nafas sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital dan disahkan berada di tahap lima akibat virus Covid-19.
Malah, dia turut berkongsi, dirinya menjadi panik dan takut setelah hampir 20 hospital swasta yang dihubunginya semalam, tidak dapat mengambil suaminya untuk dirawat serta mendapatkan oksigen yang secukupnya.
“Tengahari semalam, suami saya tidak boleh bernafas kerana oksigen rendah dan disahkan telah berada di tahap empat dan lima. Saya panik dan takut. Adik beradik suami telah membantu telefon ambulan dan cuba untuk mendapatkan hospital swasta, tapi Ya Allah, semua hospital penuh. Hampir dua jam duduk di dalam ambulans di tepi jalan.
“Semua hospital swasta di Kuala Lumpur dan Selangor, tidak terima pesakit lagi. Saya sentiasa berdoa supaya dapat satu panggilan telefon daripada mana-mana hospital swasta yang saya telefon lebih daripada 20 hospital,” katanya.
Menerusi Instagram Live itu juga, Rebecca meluahkan rasa syukur setelah suaminya berjaya mendapatkan rawatan oksigen di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Swasta (PKRCS) di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur.
“Bagaimanapun, Alhamdulillah Allah beri petunjuk, saya teringat rakan pernah memberitahu di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur, mempunyai tempat kuarantin untuk pesakit Covid-19 yang mempunyai doktor.
“Terima kasih kepada rakan saya yang mencadang untuk membawa ke sana untuk menyelamatkan nyawa suami kerana oksigen terlalu rendah. Jadi, suami saya dapat diselamatkan, semalam.
“Saya tetap berdoa dan percaya Allah akan membantu. Alhamdullillah pada jam 10:30 malam , saya dapat satu panggilan yang menyatakan suami boleh menjalani rawatan di hospital swasta,” ujarnya bernada sedih.
Dalam pada itu, dia tidak berhenti-henti meminta pengikutnya mendoakan keluarganya terutama suaminya agar kembali sihat seperti sedia kala sekaligus menyarankan semua warganet untuk sentiasa menjaga diri.
Seterusnya, dia menegaskan kepada kerajaan yang mendengar luahan hatinya itu supaya membuat ‘lockdown’ penuh bagi mengurangkan kadar kematian serta kehilangan orang yang tersayang.