TAHUN 2018, adalah tahun terakhir pentas hiburan dan arus komedi menyaksikan kelibat Shahrol Azizie Azmi, 37, aktif dalam industri seni.
Terpalit dengan isu digam selain dibuang kerja sebagai penyampai radio Suria FM, Shahrol yang juga anggota duo Shiro bersama Ajak, kemudiannya membuat keputusan untuk pulang ke kampung halamannya di Kluang, Johor.
Pun begitu, sehingga kini, masih ada yang beranggapan pulangnya Shahrol ke Kluang adalah satu petanda nyata bahawa pelawak ini sudah terlalu kecewa dengan industri hiburan menyebabkan dia membuat keputusan untuk meletakkan noktah.
Persoalannya, benarkah Shahrol sudah senekad itu, berpaling daripada kerjaya seni kerana sarat dengan kekecewaan layanan orang dalam industri sebelum ini?
Pancaindera mendapatkan Shahrol dan ini adalah penjelasan daripada empunya diri.
Pernah jatuh terduduk dek layanan industri sebelum ini, baik digam kerana isu politik selain gelaran penyampai radio cuma kekal sebagai satu sejarah hidup buat Shahrol. Bagaimana bangkit daripada kejatuhan itu?
Selepas kemenangan Maharaja Lawak Mega (2018), saya terus balik Kluang dan kini buat kerja yang tak glamor. Menguruskan dua syarikat iaitu Bushido Production & Studio serta Ngepot Kabin, kedai makan di sini. Memang tak popular. Jadi pengurus, asyik kena kutuk, bos semua salah dan ada banyak musuh. Ditambah pula dengan tugas menguruskan dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Aku Budak Kluang (ABK) dan Pertubuhan Pemuda UMNO Kluang, dua-dua ini pun tak popular, itu yang saya buat hari ini.
Jadi sudah tidak lagi berminat dengan industri hiburan arus perdana?
Saya tak pernah cakap atau mengumumkan mahu bersara, pencen atau apa sahaja mengenai hal itu sebelum ini. Saya masih sayangkan industri seni. Pendek kata, jiwa seni itu tetap ada. Sehingga sekarang pun saya masih menghubungi rakan-rakan industri. Di Kluang saya uruskan produksi cuma mungkin kini lebih banyak dilihat berada di belakang tabir. Di bawah Bushido Production pun kami ada 15 selebriti yang terlibat dalam program yang diterbitkan, khususnya untuk membantu mempromosi sektor pelancongan di Johor.
Lebih seronok di belakang tabir atau muncul di kaca televisyen macam dulu?
Mungkin sudah sampai masanya saya berada di belakang tabir. Bukanlah riak atau takbur, saya pun tak nak keluarkan ayat retorik. Tapi Alhamdulillah, saya okey dan buat apa yang saya suka. Kalau dulu, terikat dengan stesen TV atau radio, kita selalu menunggu peluang sama ada nak sambung kontrak atau tidak, hidup dalam keadaan takut kena buang atau tidak. Itu dulu. Sekarang kita sendiri yang mencipta peluang. Alhamdulillah, dengan apa yang saya buat hari ini, contohnya menerusi produksi, saya dapat bantu industri pelancongan Johor. Ngepot Kabin saya bantu buka peluang perniagaan buat usahawan muda di sini. Saya lihat semuanya daripada sudut positif.
Shahrol lebih gembira dengan keputusan yang telah dibuat menerusi cabang tugas-tugas kini, betul tak?
Pemberian dari Tuhan dan saya gembira bila lihat orang lain pun gembira. Saya tak ambil skop yang besar dan tertumpu pada daerah Kluang. Di sinilah saya dilahirkan, dibesarkan, kenal erti perjuangan, percintaan, kehidupan, semuanya di kampung. Bila saya balik satu tanggungjawab untuk saya mencurah semula bakti kepada orang kampung. Sejak 2011 lagi saya sudah jalankan usaha menerusi ABK dengan pelbagai aktiviti setempat. Malah, menerusi produksi kami, ramai kalangan orang kampung menjadikan kami tempat mengadu nasib sebelum kemudiannya pasukan digerakkan untuk turun padang memberi bantuan misalnya.
Dulu dapat gembirakan orang di depan kamera, sekarang dengan cara berbeza, apa kata Shahrol?
Saya suka dengan ayat memberi manfaat. Dari segi tutur kata kita atau apa pekerjaan sekali pun, kita mampu memberi manfaat pada orang lain. Sebab itu, semasa bersama Ajak dalam Shiro, dari 2011 hingga 2018, kami suntik unsur moral yang boleh disampaikan kepada masyarakat. Tiga minit yang digunakan adalah masa emas buat kami untuk memberi nilai positif pada orang.Teringat tak lama dulu, pernah sedang makan di sebuah kedai, saya disapa oleh seorang pakcik dan dia menangis tengok saya. Katanya dia terkenang arwah isterinya kerana sebelum meninggal dunia, dia ada penyakit strok dan cuma akan respons ceria bila tengok aksi Shiro di televisyen atau di video dalam telefon pintar anaknya. Si anak berpeluang menyuapkan makan setiap kali ibunya ketawa tengok Shiro. Pakcik itu sudah nak jumpa saya dan Ajak dan kebetulan Allah SWT pertemukan kami di kedai itu. Menangis pakcik itu dan banyak kali ucap terima kasih kerana jenaka kami membuatkan arwah isterinya sedikit sebanyak ceria semasa hayatnya. Itu antara kisah saya, ramai lagi orang boleh buat perkara serupa dan saya percaya niat yang baik, Tuhan akan beri balasan baik.
Ada simpan hasrat tak untuk kembali mewarnai hari penonton menerusi kemunculan di televisyen?
Terus terang, kembali ke kaca televisyen itu, Insya-Allah. Macam saya cakap, tak pernah pun tarik ‘hand-break’. Tak ada istilah macam itu dan kalau ada tawaran lakonan atau apa sahaja yang dirasakan sesuai, saya akan terima jika kena pada jadual dan sebagainya. Tapi bergantung kepada industrilah nak terima saya atau tidak. Janganlah kerana seseorang artis itu ada pendirian tentang politik, maka terus kena gam. Kita semua rakyat Malaysia dan ada hak dan kebebasan mengenai hal itu. Sampai bila stesen TV atau radio misalnya, macam kena cucuk hidung oleh mana-mana penguasa. Kita tak boleh lari daripada isu politik sejak lahir sampai mati. Kalau bersuara saja kena gam atau buang, orang akan jadi lebih muak dengan politik.