KAMPAR: Lelaki yang rentung dalam kebakaran tiga buah rumah di Kampung Padang Tembak di sini semalam, sempat dibantu anak tiri perempuannya untuk menyelamatkan diri.
Mangsa, Ahmad Baser Razali berusia 50-an yang lumpuh cuba dibawa keluar bersama katil namun keadaan api yang marak terlalu cepat menyebabkan usaha tersebut gagal.
Anak tiri mangsa, Shabilah Mohamed Musa, 47, berkata, dia menarik katil bapa tirinya itu sehingga ke depan pintu tetapi tidak berdaya sebelum keluar meminta bantuan jiran.
“Ayah jerit minta tolong selamatkannya kerana dia tidak mampu bergerak. Saya yang terkejut dan panik terus menarik katilnya hingga ke depan pintu.
“Ketika itu, saya memang tidak berdaya dan terpaksa keluar dari rumah meminta pertolongan jiran bagi menyelamatkan ayah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Menurutnya, dia menyedari kebakaran yang turut melibatkan rumahnya yang musnah kira-kira 80 peratus itu setelah terdengar jeritan ibunya.
Katanya, dia yang masuk ke dalam rumah kemudian ternampak percikan api dari siling bilik.
“Ketika kejadian, suami dan anak lelaki sedang tidur dan saya bergegas masuk ke rumah menggerakkan mereka.
“Apabila berjaya menggerakkan mereka, kami cuba masuk semula untuk dapatkan ayah namun tidak sampai beberapa minit api sudah terlalu marak,” katanya.
Tambahnya, dia terkilan kerana tidak mampu menyelamatkan bapa tirinya itu sedangkan lelaki itu telah berada di hadapan pintu.
“Saya juga bersyukur apabila suami dan lima anak selamat dalam kejadian ini.
“Semua barangan termasuk dokumen peribadi dan telefon bimbit musnah. Setakat ini, anak-anak menumpang di rumah saudara,” katanya.
Kejadian kebakaran melibatkan tiga buah rumah itu mengorbankan Ahmad Baser yang rentung manakala isterinya, Ngah Dimah Tamin berusia 60-an mengalami sesak nafas dan dirujuk ke Hospital Kampar untuk rawatan kecemasan.