MUNICH: Bintang Belgium, Kevin de Bruyne mendedahkan, dia terpaksa mengabaikan kesakitan apabila ligamen pergelangan kakinya terkoyak ketika beraksi bersama pasukannya menentang Itali dalam aksi suku akhir Euro 2020, semalam.
Dua jaringan skuad Azzurri menerusi Nicolo Barella dan Lorenzo Insigne di Arena Allianz, Munich itu sudah cukup untuk membawa pasukan bimbingan Roberto Mancini itu mara ke separuh akhir menerusi kemenangan 2-1 ke atas Belgium.
Skuad Red Devils, yang juga pasukan di ranking No. 1 dunia memperoleh jaringan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan penyerang sensasi mereka, Romelu Lukaku.
“Saya, secara peribadi menempuhi empat atau lima minggu yang menjengkelkan. Saya ingin berterima kasih kepada kakitangan perubatan.
“Satu keajaiban apabila dapat beraksi dengan baik biarpun saya mengalami kecederaan di bahagian pergelangan kaki. Satu ‘tangisan’ dalam ligamen saya.
“Saya rasa bertanggungjawab ke atas negara saya pada hari ini. Sangat sedih apabila kami gagal memperoleh keputusan positif,” ujar pemain tengah Manchester City, De Bruyne.- AGENSI