LONDON: Pemain baharu Manchester United, Jadon Sancho berhasrat untuk memenangi trofi bersama kelab itu selepas menyertainya menerusi perpindahan bernilai 73 juta pound (RM424 juta) dari Borussia Dortmund.
Pemain antarabangsa England berusia 21 tahun itu yang juga bekas pemain remaja Manchester City, menandatangani kontrak selama lima tahun dengan pilihan lanjutan kontrak.
United tidak pernah memenangi trofi sejak memenangi Liga Europa 2017 dengan kali terakhir memenangi Liga Perdana adalah ketika musim terakhir Alex Ferguson membimbing kelab itu lapan tahun lalu.
“Ketika membesar, Manchester United adalah salah satu kelab gergasi yang diketahui oleh semua orang dan memenangi banyak trofi.
“Inilah salah satu sebabnya mengapa saya hadir ke Manchester kerana saya dapat melihat perkembangan yang sedang berlaku dan mahu menjadi sebahagian daripadanya.
“Terutama ia adalah kelab yang paling ikonik dan menjadi keluarga United adalah seperti impian menjadi kenyataan,” katanya.-AGENSI