Sampai bila harus bersedih? - Marsha Milan - Utusan Malaysia

Sampai bila harus bersedih? – Marsha Milan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUARANYA tidak begitu kuat seperti selalu.

Agak perlahan, seakan menggambarkan dirinya sedang cuba mengawal sehabis daya penggunaan peti suara lantaran baru sahaja sembuh daripada batuk, satu daripada simptom jelas pesakit Covid-19.

Pun begitu, Alhamdulillah. Ujian sakit itu berjaya dilalui dengan tenang oleh Marsha Milan meskipun sedar hakikatnya, setiap pesakit Covid-19 memerlukan tempoh yang lama untuk benar-benar pulih sepenuhnya.

Dalam erti kata lain, Marsha belum lagi boleh mengisytiharkan dirinya bebas total daripada penyakit tersebut. Namun bersyukur kerana sekurang-kurangnya tubuh badannya memberikan reaksi kesihatan yang positif selama dia mendisiplinkan diri mengikuti rawatan.

“Walaupun sudah sebulan, dari aspek stamina masih belum benar-benar okey. Doktor pula ada beritahu, mana-mana atlet atau penyanyi yang terkena jangkitan Covid-19, golongan kami ini adalah yang paling terkesan dan memerlukan masa agak lama untuk pulih.

“Walaupun stamina tak sama macam dulu, tetapi saya cuba juga raih semula keupayaan untuk itu. Mujurlah doktor kata orang muda senang sikit untuk pulihkan semula momentum itu mengikut rentak keupayaan tubuh kita.

“Ini pun saya anggap banyak peningkatan positif sebab kalau nak dibandingkan sebelum ini, saya langsung tak boleh nak terima sebarang temu bual atau bercakap sebab mengalami batuk teruk dan nafas pun jadi pendek,”katanya.

Melahirkan rasa syukur kerana sehingga sekarang tetap dihujani dengan kata-kata dan doa agar dirinya segera sembuh daripada penyakit ini, Marsha mengaku hatinya tersentuh dengan segala kasih sayang yang dicurahkan peminat.

Pun begitu, sebagai seorang manusia yang kerdil, bohonglah jika dia tidak merasa sedih dengan ujian yang menimpa memandangkan secara tidak langsung ia juga mengusik gerak kerjayanya sebagai seorang anak seni.

Bukan tidak menerimanya, tetapi jauh di sudut hati, Marsha berharap alangkah baiknya jika penyakit ini tidak wujud dan semua orang termasuk dirinya, dapat menghirup hidup seperti biasa.

“Macam baru-baru ini, saya sepatutnya sibuk mempromosikan lagu baharu berjudul Cinta, tetapi tak dapat berbuat demikian disebabkan saya sakit dan kebetulan pula dalam masa sama diuji dengan pemergian Allahyarham bapa mentua yang juga dijangkiti Covid-19.

“Saya jadi skeptikal nak lancarkan juga, sebab keadaan macam tidak mengizinkan. Tambahan pula dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya dirundung rasa sedih,”katanya.

Tak harap duit suami

Mengaku menyedari ramai yang menganggap untuk apa dia bekerja kuat sedangkan sudah ditanggung suami yang kaya, maka jalani sahajalah hidup dengan senang.

Ya, hanya jika sahaja hidup ini semudah drama telenovela, mungkin itulah yang Marsha akan lakukan. Namun, penyanyi ini lebih senang untuk memilih hidup berdikari daripada sentiasa mengharap wang suami.

“Ramai yang masih fikir saya ini hidup tumpang suami kaya sahaja. Tak perlu bersusah payah cari duit. Walhal, dari dulu, sebelum saya berkahwin lagi sudah terbiasa hidup berdikari. Memang begitu.

“Saya sebolehnya tak nak guna duit suami. Masa mula-mula kahwin, pernah dia suruh saya jadi suri rumah saja jadi saya cubalah tinggalkan dunia seni sebentar dan ikut katanya.

“Adalah buat kerja sikit-sikit tapi duduk di rumah selama setahun, saya sudah mula rasa tak boleh duduk diam. Siapa yang sudah biasa bekerja mesti faham perasaan ini. Lepas pujuk suami, barulah saya aktif semula dalam bidang seni selepas setahun berkahwin,”katanya.

Luahan Marsha

Bagaimanapun tanpa disedari, Cinta bagi Marsha umpama takdir yang hadir memberikan semangat buat dirinya pada waktu yang tepat di saat jiwanya galau memikirkan banyak perkara.

Akui penyanyi ini, hanya setelah dia kembali menghayati semula lirik lagu itu, ternyata sebenarnya Cinta adalah naskhah tepat untuk dihadiahkan kepada peminat pada waktu ini, dalam situasi kini.

“Saya tak tahulah orang lain, tetapi bila dengar semula lirik lagu itu, saya baru sedar ia boleh dikaitkan dengan konsep ketuhanan. Ia bukan lagu cinta tipikal.

“Cinta mmbuatkan saya sedar walau apa ujian dilalui, akhirnya kita ada Allah SWT.

“Saya sampai bercakap dengan diri sendiri, sampai bila nak terus bersedih seperti ini? Walhal, selalu dengar ayat ‘Allah SWT tidak akan hadirkan sesuatu ujian itu melainkan Dia tahu kita mampu mengharu­nginya’,”katanya lagi.

Dalam pada itu, cukup tahu bahawa industri sekarang sedang berdepan pelbagai masalah terutamanya penangguhan aktiviti seni, Marsha bersyukur kerana sekurang-kurangnya dia sebelum ini tidak cuma bergantung semata kepada muzik dan nyanyian.

“Sebagai individu, kita kena pelbagaikan ikhtiar dan cari cara lain. Apatah lagi sejak pandemik melanda, semua orang kena adaptasi dengan norma baharu. Sekali lagi saya tak nafikan, diri rasa tertekan juga bila fikir macam mana nak hidup?

“Memang saya ada kecukupan untuk sediakan keperluan diri, tapi kena juga fikir aspek jangka masa panjang dan bagaimana nak pastikan kewangan kukuh.

“Adakala saya rasa nak menyerah sahaja. Iyalah, nak tak nak, kita kena reda dengan apa terjadi dan letakkan kepercayaan yang Allah SWT sudah susun jalan buat kita sebenarnya,”katanya.

Mahu apa lagi?

Dalam pada itu, sebelum melayangkan ucapan selamat tinggal, sempat juga penulis bertanya jika dia mempunyai hasrat tertentu yang masih belum tercapai sementelah usianya berbaki empat tahun lagi untuk menjengah ke angka 40.

Sambil menghela nafas, bekas peserta program realiti Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) ini mengaku tidak terlalu berambisi kecuali cuma mahu mengekalkan momentum dan meneroka lebih banyak peluang lagi dari aspek kerjayanya.

Bagaimana pula dengan hasrat menimang cahaya mata? Lekas sahaja Marsha berkata siapa tidak mahu.

“Tentang zuriat, saya tak pernah nak rancang umur bila mahu pastikan dapat anak. Bagi saya, usia apa pun, kalau itu yang sudah ditentukan Tuhan, terima sahaja kerana sudah namanya rezeki.

“Tapi mungkin jugalah sekarang ini belum dapat lagi kerana saya belum cukup ikhtiar. Tetapi bukan bermaksud saya dan suami tidak mahu anak ya! Kalau tak ada rezeki anak pun, kami ada berbincang cara lain untuk kembangkan keluarga.

“Ada juga rancangan nak ikuti rawatan di hospital untuk dapatkan zuriat, Insya-Allah, jika tiada halangan, apa salahnya kami cuba. Doakan yang terbaik buat kami ya,”katanya.

Untuk rekod, Marsha mendirikan rumah tangga dengan seorang ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang, Mohamed Shaiful Nizam Ismail pada tanggal 31 Disember 2015.

Takkanlah Nurul Huda saja

Meluaskan cabang seninya kepada bidang lakonan selain pengacaraan, Marsha kebelakangan ini wajar dipuji kerana berjaya memecahkan tembok kepercayaan bahawa dia mampu bergelar seorang pelakon yang ada kualiti.

Bukan apa, kebiasaannya, ramai sahaja penyanyi yang terjun ke dalam bidang lakonan tetapi masih dianggap kayu dan Marsha membuktikan sebaliknya menerusi watak Nurul Huda dalam drama berjudul Rindu Separuh Nyawa.

“Tak dinafikan, Nurul Huda memang memberikan impak pada kerjaya lakonan saya dalam banyak-banyak naskhah lain yang pernah dibintangi.

“Tetapi kerana Nurul Huda jugalah saya perlu berdepan dengan kecaman, kritikan dan fitnah. Tak apalah, saya anggap satu hikmah yang mana mungkin kerana itulah orang nampak bakat lakonan saya.

“Cuma selepas itu saya sendiri terfikir, takkanlah orang cuma mahu ingat watak Nurul Huda sahaja? Hakikatnya, selepas ini dalam lebatnya kecaman,ia juga menguji saya untuk memastikan graf lakonan sentiasa berada di atas,” katanya.

Dalam kerisauan kata Marsha, cabaran utamanya adalah bagaimana untuk memastikan dirinya tidak hanyut dalam zon selesa sekarang dalam bab lakonan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya