IPOH: Pembantu rumah warga Indonesia yang dikaitkan dengan kes rogol membabitkan bekas Exco kerajaan negeri, Paul Yong Choo Kiong akan memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini.
Keterangan saksi pendakwaan ke-15 itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed pada pukul 2.15 petang ini.
Tiada liputan media dibenarkan ekoran saksi terbabit dilindungi di bawah Akta Perlindungan Saksi 2009 dan Seksyen 265 (A) Kanun Tatacara Jenayah.
Berdasarkan peruntukan itu, saksi memberi keterangan secara tertutup (in-camera) di hadapan hakim tanpa dilihat oleh pendakwa raya, peguam dan tertuduh selain proses pengecaman ke atasnya juga dilakukan tanpa dilihat oleh pihak berkenaan.
Difahamkan, seorang lagi saksi terlindung akan memberi keterangan di mahkamah, minggu ini.
Pada 23 Ogos 2019, Choo Kiong yang juga bekas Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri didakwa merogol seorang wanita di dalam sebuah bilik di tingkat atas sebuah rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan antara pukul 8.15 hingga 9.15 malam, 7 Julai 2019.
Pertuduhan terhadap beliau dilakukan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE