BATU PAHAT: Lima sahabat yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana didakwa melakukan aktiviti terlarang dengan menyertai perhimpunan tanpa memakai pelitup muka pada 13 Mei lalu, tidak mengaku bersalah.
Tertuduh, Muhammad Farhan Mhd. Basri, 22; Nur Muhamad Afif Norazam, 23; Mohammad Faizul Naim Ahmad 23; Muhamad Al Azim Abd. Rasid, 19 dan Muhammad Hafizulhilmi Zailan, 23, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohd. Syafiq Mustaza.
Kelima-lima mereka dituduh berada di tempat dalam kawasan tempatan jangkitan yang bukan bertujuan melakukan apa-apa perkara yang diperuntukkan di bawah Peraturan 5, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 iaitu melakukan aktiviti terlarang dengan menyertai perhimpunan tanpa memakai pelitup muka.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Persimpangan Lampu Isyarat Parit Raja, Batu Pahat, di sini kira-kira pukul 2 pagi, 13 Mei lalu.
Mereka didakwa melanggar Peraturan 9, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 17(1) peraturan sama yang boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.
Terdahulu, dalam prosiding yang dijalankan secara berasingan, Timbalan Pendakwa Raya Hayatulwirdah Mohd. Yunos memohon agar tertuduh dikenakan jaminan bernilai RM6,000 bagi setiap seorang.
Bagaimanapun, peguam bela, Mohd. Fared Mohd. Khalid merayu mahkamah mempertimbang semula jumlah berkenaan berikutan tiga daripada mereka masih menuntut di institut pengajian tinggi (IPT) dan dua lagi kini hilang pekerjaan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Selain itu, Mohd. Fared juga meminta mahkamah mengambil kira rekod bersih ke atas kelima-lima tertuduh yang juga selaku Orang Kena Saman (OKS).
Mohd. Syafiq kemudian memutuskan jumlah jaminan sebanyak RM1,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pada malam Hari Raya Aidilfitri lalu, sekumpulan pemuda melakukan rusuhan dengan membuat halangan jalan raya menggunakan motosikal dan kereta selama 15 minit bagi menarik perhatian dengan kain rentang bertulis ‘KERAJAAN GAGAL’ serta membakar suar dan mercun.
Kain rentang yang sama juga dibawa dan digantung di jejantas di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kong Nan, Parit Raja sejurus selepas kejadian.
Susulan tindakan itu, polis telah menahan seramai 27 suspek berusia antara 16 hingga 28 tahun dalam beberapa operasi selepas video berkenaan insiden itu tular di media sosial. – UTUSAN ONLINE