KLANG: Kegiatan memproses dan menyimpan air ketum di sebuah rumah di Kampung Delek di sini, yang aktif sejak empat bulan lalu tumpas selepas diserbu polis, kelmarin.
Selain 101 bungkusan air ketum, serbuan kira-kira pukul 10 pagi itu membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan bagi tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menerusi hasil aduan dan maklumat awam.
“Suspek pertama berusia 37 tahun ditahan di Flat Sri Perantau, Pelabuhan Klang dan merampas satu bungkusan air ketum.
“Ia disusuli tangkapan suspek kedua berusia 42 tahun dan rampasan 100 bungkusan air ketum di sebuah rumah di Kampung Delek,” katanya di sini, hari ini.
Menurut beliau, keseluruhan air ketum berkenaan dianggarkan bernilai RM1,010.
Tambah beliau, kedua-dua suspek kini direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – UTUSAN ONLINE