RM9.5j: Bicara Muhammad Shafee tangguh lagi - Utusan Malaysia

RM9.5j: Bicara Muhammad Shafee tangguh lagi

MUHAMMAD SHAFEE ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang didakwa menerima wang RM9.5 juta hasil aktiviti haram ditangguhkan ke 22 Julai ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz ketika dihubungi media memaklumkan penangguhan tersebut adalah berikutan seluruh negara kini sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan penuh (total lockdown).

Seramai tiga saksi termasuk seorang wartawan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada 21 Mei lalu. Perbicaraan tersebut didengar oleh Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin.

Muhammad Shafee kini dibicarakan atas tuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram melalui cek milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Beliau didakwa menerima cek sebanyak RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Februari 2014.

Bagi perbuatan itu, Muhammad Shafee didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman denda RM5 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Beliau juga berhadapan dua tuduhan membabitkan diri secara langsung dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu dengan membuat penyata yang tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Jika sabit kesalahan akan berdepan hukuman penjara maksimum setahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda daripada jumlah hasil aktiviti haram. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya