JEMPOL: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) terus memainkan peranannya bagi membantu kelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Pengerusi Risda, Datuk Mohd. Salim Mohd. Sharif berkata, peranan itu termasuk menerusi beberapa inisiatif menggalakkan pendaftaran dan penerimaan vaksin oleh golongan pekebun-pekebun kecil di seluruh negara.
“Risda membuka kaunter khas di semua premisnya dengan menyediakan pegawai bertugas mengikut jadual bagi tujuan membantu pekebun kecil membuat pendaftaran dan semakan melalui aplikasi MySejahtera.
“Kami juga menyediakan kenderaan untuk membawa pekebun kecil ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) selain menjalankan kerjasama termasuk dengan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) Negeri dan Daerah serta Pejabat Kesihatan Daerah menerusi program-program ‘outreach’,” katanya.
Mohd. Salim yang juga Ahli Parlimen Jempol berkata demikian pada Program Pemberian Vaksin Bergerak Parlimen Jempol di Dewan Orang Ramai Serting Tengah, Kampung Serting Tengah. – UTUSAN ONLINE