SEREMBAN: Sekali lagi isu keraguan berkenaan status halal penyedia dan pengendali makanan di aplikasi penghantaran makanan dalam talian timbul di daerah ini.
Ia apabila tular sejak dua hari lalu di Facebook seorang penghantar makanan memaklumkan terdapat sebuah restoran di bandar ini yang dipercayai dikendalikan individu bukan Islam dengan status halalnya diragui.
Menurut penghantar makanan tersebut, maklumat berkenaan restoran tersebut di sebuah aplikasi penghantaran makanan memaparkan ia merupakan sebuah restoran diiktiraf halal.
Bagaimanapun, hasil pemerhatian keadaan dalam restoran dan penyedia makanan tersebut, restoran berkenaan diragui status halal dan kebersihannya.
Lebih membimbangkan, katanya, antara pelanggan yang sering membeli makanan dari restoran itu merupakan pelanggan berbangsa Melayu dan beragama Islam.
“Tolong beritahu rider-rider yang dapat pesanan dekat ini apatah lagi orang Islam yang pesan, beritahu kepada pelanggan, restoran ini adalah restoran tidak halal.
“Dalam aplikasi tulis halal tapi apabila kawan saya masuk kedai ini memang dia syak yang kedai ini bukan halal, harap pihak berkuasa dapat siasat kedai ini lebih terperinci,” katanya.
Sebelum ini Utusan Online melaporkan Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad menasihati umat Islam di negeri supaya lebih berhati-hati dan teliti dalam urusan pembelian makanan terutamanya menerusi aplikasi penghantaran dalam talian.
Ia selepas tular sebelum itu seorang penghantar makanan yang memaklumkan mengambil makanan daripada penjual bukan Islam yang diragui status halalnya dan kemudian menghantar makanan itu kepada seorang pembeli yang merupakan seorang Islam.
Penghantar makanan tersebut itu juga memberitahu, penjual makanan tersebut beroperasi di sebuah rumah di Taman Sri Pulai dekat sini.
Jelasnya, dia telah memaklumkan perkara tersebut kepada pelanggan berkenaan dan pelanggan itu kemudian telah membuang makanan tersebut.