PETALING JAYA: Pelakon berkaliber, Jasmin Hamid, meluahkan rasa berang dengan segelintir sikap rakyat Malaysia yang didakwa masih berdegil untuk pulang ke kampung halaman mereka bagi menyambut Hari Raya Aidiladha, esok.
Menerusi entri Instagram, Jasmin meluahkan perkara tersebut ekoran banyak akhbar tempatan yang berkongsi berita berkenaan peningkatan kemasukan kenderaan ke negeri Kelantan.
Jelasnya, sikap segelintir yang mementingkan diri sendiri dalam mengambil kesempatan untuk pulang berhari raya pada ketika ini akan menimbulkan keadaan yang lebih teruk ekoran kini kes harian Covid-19 mencatatkan peningkatan.
“Mohon jaga lisan, kes berbelas ribu. Sekarang dah ada kluster baharu. Rentaslah berjemaah lagi, pentingkan diri sendiri! Kami yang patuh prosedur operasi standard (SOP) akan terus tersadai tanpa pendapatan. Syabas pada yang pentingkan diri sendiri!
“Jangan jadikan keluarga mangsa pentingkan diri kita, jangan jadi pembunuh! Orang yang tidak bersalah, menjadi nafsu serakah mereka,” tulisnya di Instagram.
Menerusi perkongsian lain sebelum ini, Jasmin juga turut meluahkan rasa kecewanya dengan sikap mereka yang masih berdegil untuk pulang ke kampung halaman.
“Ini memang betul-betul raya korban (korban Covid-19), nak korbankan keluarga ke semua? Kenapa degil sangat? Jangan salahkan takdir bila kita sendiri yang degil. Nanti bila dah berjangkit dekat keluarga, baru nak minta maaf pada orang sekeliling,” katanya di Instagram.
Kelmarin, jumlah kenderaan yang ingin memasuki Kelantan melalui sekatan jalan raya (SJR) di Jeli yang merupakan laluan masuk utama dari utara dikesan mula meningkat.