PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memuji prestasi cemerlang yang ditunjukkan pemanah wanita negara, Syaqiera Mashayikh yang berjaya mengatasi rekod peribadinya ketika aksi penentuan ranking acara recurve individu Sukan Olimpik Tokyo 2020, hari ini.
Syaqiera, 21, beraksi cemerlang apabila menamatkan saingan di kedudukan ke-43 dalam aksi penentuan ranking acara recurve individu wanita, apabila mengutip 630 mata di Yumenoshima Park Archery Field.
Catatan itu menyaksikan dia yang menghuni ranking ke-355 dunia berjaya mengatasi rekod peribadi terbaiknya sebelum ini dengan 619 mata.
“Syaqiera layak ke pusingan 1/32 di kedudukan ranking ke-43. Tahniah Syaqiera.
“Saya juga dimaklumkan markah 630 ini adalah pencapaian peribadi terbaik buat Syaqiera dan secara langsung merekodkan sejarah buat pertama kali di temasya Olimpik buat sukan memanah bagi individu wanita. Syabas dan teruskan prestasi ini,” kata Reezal menerusi ciapan di Twitter miliknya.