KOTA BHARU: Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan merogol anak kandung berusia lapan tahun di sebuah rumah di Pasir Puteh, awal tahun ini.
Tertuduh berusia 47 tahun membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, dia didakwa merogol anak kandungnya berusia lapan tahun apabila perhubungan itu tidak dibenarkan di bawah hukum agama, adat atau kebiasaan untuk berkahwin dengan mangsa.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan tertuduh dalam bilik tidur sebuah rumah di Pasir Puteh pada bulan Januari dan Februari lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lapan hingga 30 tahun dan 10 kali sebatan jika sabit kesalahan bagi kedua-dua pertuduhan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan selain menetapkan tarikh 5 September ini untuk sebutan semula kes.
Untuk rekod, Kelantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Januari dan awal Februari lalu sebelum dilonggarkan kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada pertengahan Februari. – UTUSAN ONLINE