SEREMBAN: Tidak mempunyai telefon pintar untuk melakukan imbasan kod QR aplikasi MySejahtera antara alasan yang diberikan segelintir pengunjung yang mahu memasuki Pasar Besar Seremban di sini.
Menurut anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), S. Vijaiyan, 55, yang menyelia kawalan keselamatan di pasar itu, sikap sambil lewa itu bukan sahaja dilakukan oleh golongan warga emas malah turut melibatkan golongan lebih muda termasuk dalam kalangan warga asing.
“Jika warga emas berusia 60 tahun ke atas, pihak kami boleh memberikan budi bicara dengan membenarkan mereka mengisi kehadiran secara manual, itupun mereka mesti menunjukkan Mykad mereka supaya kami boleh memperoleh maklumat lengkap peribadi mereka.
“Bagi yang lebih muda khususnya warga asing, kami tidak akan memberikan kebenaran untuk mereka masuk ke pasar ini walaupun mereka meminta untuk mengisi butir peribadi mereka secara manual. Tidak mungkin mereka tidak mempunyai telefon bimbit, selalunya mereka cuba menyembunyikan status kesihatan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pasar itu.
Jelas Vijaiyan, terdapat beberapa kes sebelum ini iaitu ada pengunjung apabila membuat imbasan di MySejahtera, mereka merupakan individu yang berisiko.
“Apa akan jadi jika kita tidak buat kawalan rapi dan membenarkan mereka mengisi butiran peribadi secara manual? Sudah tentu ia mendatangkan risiko menjangkiti Covid-19 kepada orang lain sama ada pengunjung mahupun peniaga dan pekerja di pasar ini,” katanya.
Tambahnya, ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah ini, masih ada pengunjung yang tetap hadir bersama ahli keluarga yang lain walaupun prosedur operasi standard (SOP) hanya membenarkan kehadiran seorang bagi setiap isi rumah.
“Apabila kami melarang, mereka berikan pelbagai alasan, memaki hamun kami yang sedang bertugas. Walau apapun kami mesti melaksanakan tugas demi keselamatan orang yang lain.
“Sangat mengecewakan kerana masih ramai yang seperti sambil lewa dan tidak mahu mengambil berat SOP yang kerajaan telah tetapkan. Sudah lebih setahun negara berhadapan dengan penularan Covid-19 tetapi ada yang masih tidak faham tentang kepentingan mengikut SOP,” katanya.
Jelas Vijaiyan, seramai 12 orang anggota Rela ditugaskan bagi membuat kawalan di pasar tersebut bermula ia beroperasi iaitu dari pukul 4 pagi sehingga pukul 2 petang.
“Hanya satu laluan masuk dan keluar dibuka untuk pengunjung dan semua laluan lain ditutup dan dikawal oleh anggota Rela,” katanya.