Rakyat Johor mula terima PRE Ihsan Johor 3.0 - MB

Rakyat Johor mula terima PRE Ihsan Johor 3.0

HASNI Mohammad (kiri) bertanya khabar Zainal Mohamad Darwish semasa menyampaikan wang tunai sebanyak RM500 yang diberikan menerusi PRE Ihsan Johor 3.0 di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki yang kudung kaki, Zainal Mohamad Darwish, 58, terharu setelah menerima sumbangan sebanyak RM500 menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 yang mula diagihkan semalam.

Lebih bermakna, sumbangan tersebut diserahkan sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad yang berkunjung ke rumahnya di Kampung Bakar Batu, di sini bagi menyampaikan bantuan tersebut.

Zainal yang hilang punca pendapatan setelah bergelar orang kurang upaya (OKU) sejak 2019 tidak menyangka menerima kunjungan Menteri Besar ke rumahnya.

“Saya tidak sangka Menteri Besar sudi berkunjung ke rumah dan menyampaikan sendiri bantuan ini. Saya rasa sangat gembira dan bantuan ini sememangnya membawa makna besar kepada saya dan keluarga,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Zainal adalah salah seorang daripada 22,071 peserta e-Kasih di seluruh negeri yang menerima manfaat bantuan RM500 menerusi PRE Ihsan Johor 3.0 yang diumumkan Hasni pada bulan lalu.

Terdahulu, Hasni bertemu dengan enam keluarga penerima di daerah ini untuk menyampaikan sumbangan menerusi PRE Ihsan Johor 3.0 dan sumbangan barangan keperluan asas.

Seorang lagi penerima, Tee Ah Ee, 70, turut menyifatkan bantuan yang diberikan itu amat bermakna baginya dalam mendepani pandemik Covid-19, apatah lagi dia tinggal seorang di rumah.

Dalam pada itu, anak kepada salah seorang penerima, M. Rajkumaaran, 23, berkata, bantuan itu melegakan keluarganya setelah ibunya yang bekerja sebagai pembantu restoran diberhentikan kerja dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sebelum ini, kami bergantung hidup dengan pendapatan ibu sebagai pembantu restoran. Ayah tidak bekerja disebabkan OKU, saya pula masih menyambung pengajian,” katanya.

Dalam pada itu, Hasni berkata, inisiatif di bawah PRE Ihsan Johor 3.0 bertujuan untuk memberi bantuan kepada mereka yang terjejas sepanjang menghadapi wabak pandemik Covid-19.

Beliau berkata, bantuan yang telah diumumkan sebelum ini akan diselaraskan oleh Pejabat Pembangunan Negeri Johor dan Pejabat Daerah di seluruh negeri.

“Semalam saya menyampaikan sumbangan kepada sebahagian penerima di sekitar daerah Johor Bahru. Bantuan one-off sebanyak RM500 ini diberikan kepada 22,071 peserta di seluruh negeri ini yang terdapat dalam senarai e-Kasih.

“Kerajaan negeri sentiasa bersedia untuk membantu rakyat negeri ini menerusi pelbagai inisiatif selain daripada bantuan kewangan dalam waktu yang sukar ini,” katanya dalam kenyataan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN