KUALA LUMPUR: Penyampai radio dan pengacara terkenal, Radin mengakui dia merindui masakan arwah bondanya, Feridah Hashim iaitu rendang ayam yang diselalu disediakan tatkala menyambut hari raya.
Penyampai radio Era FM itu berkongsi menerusi soal jawab di Instagram Story miliknya bagi menjawab pertanyaan peminat yang mengajukan tentang makanan kegemarannya pada hari raya.
“Rendang ayam arwah mama dengan nasi impit,” jawab Radin atau nama lengkapnya Radin Amir Affendy.
Menerusi soal jawab itu juga Radin menjawab persoalan mengenai destinasi pertama sekiranya aktiviti rentas negeri sudah dibenarkan.
“Balik Ipoh ziarah pusara arwah mama dan ayah,” jawabnya beserta emotikon hati.
Untuk rekod arwah bondanya telah menghembuskan nafas yang terakhir pukul 9.25 pagi pada 18 Februari lalu.
Menariknya, dalam masa sama peminat turut bertanyakan soalan jodoh kepada kekasih hatinya yang bernama Azlina Idris.
“Doakan yang baik-baik,” coretnya berlatarkan gambar bersama yang diulang siar menerusi IG Story Radin.