GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak akan melakukan diskriminasi terhadap mana-mana warga asing yang ingin melakukan ujian saringan Covid-19 menerusi program Penang Saring Covid-19 (PSC19).
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeeep Singh Deo berkata, kerajaan negeri membenarkan ujian saringan berkenaan dijalankan sekiranya terdapat warga asing yang hadir ke program PSC19 walaupun program tersebut khusus untuk penduduk negeri ini.
“Jika tidak dilakukan saringan kepada warga asing dan mereka sebenarnya positif, wabak akan merebak kepada semua termasuk warga tempatan.
“Jangan diskriminasi warga asing, kita tidak akan menutup program PSC19 kepada mereka, sekiranya ada permohonan kita akan buat ujian saringan terhadap mereka,” katanya dalam sidang akhbar di Taman Kejiranan Maccallum, di sini hari ini.
Sebelum ini, kerajaan negeri memaklumkan sebanyak RM3 juta diperuntukkan khusus bagi melaksanakan program saringan secara besar-besaran terhadap kumpulan komuniti sasaran di 40 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mengekang penularan Covid-19.
Pendekatan itu bakal meningkatkan jumlah saringan kepada tambahan 40,000 sampel selain inisiatif saringan di lapangan secara berterusan dengan kerjasama Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) Pulau Pinang membabitkan sektor perkilangan.
Dalam pada itu katanya, daripada 35 kes positif Covid-19 yang dikesan menerusi ujian RTK-Antigen di tiga lokasi program PSC19 sebelum ini, hanya 23 individu disahkan positif setelah ujian lanjut dijalankan menerusi ujian saringan Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR).
“Kesemua individu tersebut telah dipakaikan gelang kuarantin dan diarahkan menjalani kuarantin kendiri dikediaman masing-masing,” katanya.
Tambah Jagdeep, program PSC19 itu juga membantu mempercepat proses vaksinasi di Pulau Pinang apabila individu yang mempunyai virus Covid-19 dapat diasingkan segera daripada komuniti.
“Mana-mana individu yang telah menjalani ujian saringan menerusi program ini, nama mereka kita akan cadangkan kepada Jabatan Kesihatan negeri supay disegerakan untuk mendapat vaksin,” katanya.