PARIS: Paris Saint-Germain (PSG) mahu melepaskan sembilan pemain mereka dalam usaha menawarkan kontrak baharu kepada Kylian Mbappe dengan kontrak sedia ada akan tamat pada 2022.
Gergasi Ligue 1 itu sedang berusaha untuk menyeimbangkan rekod kewangan mereka dengan menjual beberapa pemain dan membina skuad menerusi Mbappe.
Menurut laporan MARCA, PSG dilaporkan bersedia untuk memperbaharui pasukan itu dengan melepaskan Alphonse Areola, Abdou Diallo, Thilo Kehrer, Leandro Paredes, Idrissa Gueye, Rafinha Alcantara, Mauro Icardi, Pablo Sarabia dan Arnaud Kalimuendo.
Areola dikaitkan dengan perpindahan ke West Ham selain PSG mahu melepaskannya pada harga 15 juta euro (RM74.84 juta) manakala Abdou Diallo dan Thilo Kehrer dinilai pada harga 25 juta euro (RM124.74) seorang.
Peredes akan dilepaskan pada harga 20 juta euro (RM99.79 juta) manakala Gueye dan Rafinha pada harga 15 juta euro (RM74.84 juta).
Icardi juga sedang dalam perjalanan meninggalkan kelab dan PSG mahu melepaskannya pada harga 40 juta euro (RM199.58 juta).
Sementara itu, pengarah sukan PSG, Leonardo memberitahu Le Journal du Dimanche bahawa kelab sedang menghadapi kesukaran dari segi kewangan akibat pandemik di seluruh dunia.
Dia berkata, beberapa penyelarasan akan dibuat tetapi kelab itu tidak akan menjual Mbappe.
“Kewangan kelab terkesan akibat pandemik. Kami kehilangan lebih 200 juta euro (RM997.88 juta), mungkin hampir. Tidak mungkin akan berlaku perpindahan bernilai 100 juta euro (RM498.94 juta) pada musim panas ini, kerana tidak ada kelab yang akan berbelanja besar,” katanya.-AGENSI