GEORGETOWN: Jabatan Kesihatan Pulau Pinang merampas sebanyak 255 buah kotak produk tradisional Lianhua Qingwen Jiaonang yang didakwa boleh merawat Covid-19 dalam serbuan di beberapa premis di negeri ini pada 27 Julai tahun lalu sehingga 25 Jun lepas.
Menurut Pengarahnya, Datuk Dr. Asmayani Khalib, kesemua produk yang dirampas bernilai RM7,000 itu juga disyaki tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan dipercayai dibawa masuk secara haram dari China.
Jelasnya, produk itu dirampas menerusi Op Tonkerbell; Op Prangin; Op Dapur dan Op Yao pada 27 Julai tahun lalu, serta pada 18, 23 dan 25 Jun lepas oleh sekumpulan 15 pegawai penguat kuasa farmasi.
Dr. Asmayani berkata, serbuan itu dijalankan ke atas rumah kediaman, kedai makan, kedai ubat Cina dan premis kios di sebuah pusat membeli-belah.
“Produk tidak berdaftar ini dijual dengan dakwaan berkesan dalam merawat jangkitan Covid-19 dan dikhuatiri akan mengelirukan orang ramai.
“Siastan lanjut dijalankan menurut Akta Jualan Dadah 1952 kerana melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu Dr. Asmayani berkata, orang ramai perlu sentiasa berhati-hati sewaktu membeli produk kesihatan termasuk yang dibeli secara dalam talian dengan memastikan produk yang dijual mempunyai pelekat keselamatan Hologram dan Nombor Pendaftaran Produk (MAL).
“Status pendaftaran produk boleh disemak dengan melayari laman sesawang https://www.npra.gov.my di ruangan “Product Search” atau dengan menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan 1-800-88-6722.
“Selain itu, orang ramai boleh memuat turun aplikasi NPRA Product Status daripada Google Play Store, Apple App Store atau Huawei AppGallery bagi tujuan semakan,” katanya.
Tambah beliau, orang ramai turut digalakkan mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat mengenai penjualan produk-produk tidak berdaftar melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di web portal https://moh.spab.gov.my/.
“Orang ramai juga boleh menghubungi Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Pulau Pinang di talian 04-2292319 supaya tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk seperti ini di pasaran,” katanya.