PRN Sarawak tidak diadakan sehingga 2 Februari 2022, kecuali tamat lebih awal - Utusan Malaysia

PRN Sarawak tidak diadakan sehingga 2 Februari 2022, kecuali tamat lebih awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pilihan Raya Umum Dewan Undangan  Negeri Sarawak (PRN Sarawak) tidak akan diadakan sepanjang tempoh darurat  berkuat kuasa kecuali jika darurat ditamatkan lebih awal. 

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 21 Julai lalu bersetuju menasihati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah  agar memperkenan Proklamasi Darurat bagi seluruh Sarawak  setelah darurat yang berkuat kuasa pada masa ini berakhir esok. 

Sehubungan itu, katanya, Seri Paduka setelah berunding dengan Kerajaan Negeri Sarawak memperkenan Proklamasi Darurat bagi seluruh negeri itu yang  mula berkuat kuasa pada 2 Ogos ini hingga 2 Februari 2022. 

“Proklamasi Darurat bagi seluruh Sarawak perlu diisytiharkan untuk  menangguhkan PRN Sarawak bagi mengelakkan penularan Covid-19 menjadi lebih serius.

  “Dengan Proklamasi Darurat ini, PRN Sarawak tidak akan diadakan sepanjang tempoh darurat  berkuat kuasa kecuali jika darurat ditamatkan lebih awal,” katanya hari ini.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah mengisytiharkan Proklamasi Darurat di seluruh negeri itu bermula esok hingga 2 Februari tahun depan, sekali gus menggantung PRN Sarawak daripada diadakan dalam tempoh berkenaan.

Dalam satu warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 30 Julai, Seri Paduka berpuas hati darurat besar iaitu wabak Covid-19 yang sedang berlaku menyebabkan keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam terancam.

Menurut Fasal (3) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak, Dewan Undangan Negeri (DUN) itu sepatutnya terbubar pada 7 Jun lalu, namun fasal berkenaan tidak mempunyai kuasa menurut perenggan 15(1)(a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menggantung pembubaran DUN itu.

Warta Kerajaan Persekutuan itu menyebut ordinan berkenaan akan terhenti berkuat kuasa pada 2 Ogos menurut Proklamasi Darurat yang dikeluarkan pada 11 Januari, di mana PRN Sarawak dikehendaki diadakan dalam 60 hari dari 2 Ogos mengikut Fasal (4) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak.

“Dan bahawasanya Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa dalam keadaan yang tersebut, beta boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat untuk menggantung pilihan raya umum ke Dewan Undangan Negeri untuk menghalang daripada terus merebaknya wabak COVID-19 jika pilihan raya umum diadakan,” titah Seri Paduka dalam warta berkenaan.

Warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan di Istana Abdulaziz di Indera Mahkota, Kuantan, Pahang itu turut menyatakan perkara itu akan dibentangkan di Parlimen menurut Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya