'Pondok rezeki' bantu ibu bapa terjejas - Utusan Malaysia

‘Pondok rezeki’ bantu ibu bapa terjejas

PENGAGIHAN sumbangan ‘Pondok Rezeki’ kepada keluarga murid-murid terkesan pandemik Covid-19, hasil inisiatif warga Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Putih di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Menyedari kesempitan dialami murid-murid yang mana ibu bapa mereka terjejas pendapatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik Covid-19, guru-guru Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Putih, dekat sini tampil menyumbangkan barangan keperluan harian.

Guru Besar, Hamdan Salleh berkata, program dinamakan ‘Pondok Rezeki’ itu dilakukan secara ‘spontan’ apabila guru-guru mula membincangkan situasi kesusahan murid-murid di kelas masing-masing.

Menurutnya, inisiatif bermula dengan pengumpulan dana oleh guru-guru dan staff sokongan sekali gus mengenal pasti keluarga yang terputus bekalan makanan.

“Hasil sumbangan berkenaan membolehkan pihak sekolah membantu 40 keluarga terjejas dan majoritinya adalah di bawah golongan B40. 

“Sebolehnya kami ingin mengedarkan sumbangan kepada semua keluarga terjejas namun kali ini pemilihan lebih kepada mereka yang kehilangan pendapatan dan mempunyai bilangan ahli keluarga ramai.

“Dalam masa sama juga sumbangan turut bergantung pada dana yang masih ada. Jika ada yang memerlukan keperluan tambahan seperti susu dan sebagainya, kami sedia membantu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sumbangan diberikan adalah dalam bentuk pengagihan kotak makanan kering antaranya seperti beras, kicap, sos dan pelbagai lagi keperluan harian.

Sementara itu, seorang penerima, N. Kannmalnayaran, 48, gembira dengan tindakan pihak sekolah yang berusaha membantu ibu bapa yang berdepan masalah mendapatkan sumber makanan.

“Dengan bantuan ini, bekalan makanan di rumah pun kembali bertambah dan ia sangat memerlukan ketika anak-anak terpaksa duduk di rumah sepanjang PKP ini.

“Terima kasih kepada pihak sekolah yang membantu memandangkan suami saya lumpuh selepas kemalangan beberapa tahun lalu dan hanya seorang anak  yang bekerja dalam keluarga kami,” katanya.

Seorang lagi penerima, Nor Natasya Abdullah, 44, berasakan sumbangan Pondok Rezeki dilaksanakan pihak sekolah begitu menepati masa yang diperlukan.

“Dengan keadaan keluarga yang tidak boleh keluar bekerja, sumbangan seperti ini sedikit-sebanyak begitu membantu,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya