JEMPOL: Seorang lelaki yang dipercayai mempunyai masalah rumah tangga dan bertindak membakar dua buah kenderaan milik ahli keluarga isterinya ditahan semalam, kurang 24 jam dalam kejadian di Kampung Indah, Bahau, di sini.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, ibu mentua suspek melihat menantunya itu yang berusia 26 tahun sedang membakar kereta Perodua Kancil di hadapan rumah pada pukul 6.45 pagi.
Pada masa yang sama, wanita berusia 47 itu juga melihat sebuah lagi kereta iaitu jenis Proton Satria yang berada di garaj turut terbakar.
“Suspek yang menyedari tindakannya itu dilihat oleh ibu mentuanya itu terus melarikan diri. Wanita itu kemudian meminta bantuan anak lelakinya untuk memadam kebakaran tersebut dan seterusnya membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Chang Hook menambah, ibu mentua suspek memaklumkan terdapat perselisihan faham antara menantu dan anaknya.
Pihak forensik mengenal pasti botol yang mengandungi sisa minyak di tempat kejadian untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat dan dihantar ke makmal forensik.
“Susulan tangkapan berkenaan, ujian urin suspek juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE