Polis rampas 60 set mesin perlombongan bitcoin - Utusan Malaysia

Polis rampas 60 set mesin perlombongan bitcoin

SEBAHAGIAN daripada mesin perlombangan bitcoin yang dirampas di sebuah rumah di Taman Flora, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Polis menahan empat lelaki dan merampas sebanyak 60 set mesin perlombongan bitcoin selepas menyerbu sebuah rumah di Taman Flora di sini semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 11 malam itu, empat lelaki yang ditahan itu berusia antara 16 hingga 41 tahun dan mereka disyaki ahli sindiket kegiatan tersebut.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya menyerbu rumah terbabit selepas menerima maklumat awam mengenai kejadian bekalan elektrik terputus akibat penggunaan elektrik berlebihan di perumahan itu.

“Sebelum itu aduan telah dibuat penduduk di situ kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) berikutan berlaku kebakaran kecil di rumah tersebut.

“Penduduk telah pergi untuk membantu memadam kebakaran, namun rumah berkenaan dalam keadaan berkunci,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Katanya, pasukan polis kemudian bertemu dengan pegawai TNB dan dimaklumkan bekalan elektrik rumah terbabit dimatikan bagi mengelak berlaku kebakaran lebih besar.

“Kita juga mendapati terdapat kesan letupan dan percikan api wayar elektrik di bahagian luar rumah terbabit.

“Polis kemudian bertindak memecah masuk ke dalam rumah dan menemukan empat lelaki yang sedang bersembunyi di tingkat atas rumah,” katanya.

Menurut Kamarul Zaman, pemeriksaan lanjut turut menemukan pemasangan mesin perlombongan bitcoin secara salah di ruang bilik tingkat bawah rumah.

“Satu set komputer, satu unit network hub dan 60 set mesin perlombongan bitcoin dirampas dan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk tindakan lanjut,” jelasnya.

Tambahnya, semua suspek direman selama tiga hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan.

“Orang awam dinasihatkan supaya memaklumkan kepada pihak polis jika terdapat kejadian mencurigakan mengenai pemasangan atau pendawaian haram,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya