JOHOR BAHRU: Cubaan sindiket antarabangsa menyeludup keluar dadah jenis ekstasi ke negara jiran melalui jalan laut terbantut selepas rumah transit sindiket itu di Sungai Rengit, Pengerang diserbu polis, Ahad lalu.
Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 11 pagi itu, polis merampas 47,600 pil dipercayai jenis ekstasi seberat 16 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM856,800.
Dalam serbuan itu, beliau berkata, polis turut menahan dua lelaki warganegara Indonesia yang mendapat taraf penduduk tetap (PR) berusia 51 dan 60 tahun serta seorang penduduk tempatan berusia 24 tahun.
Kata Kok Chin, modus operandi kegiatan pengedaran dadah itu adalah dengan menjadikan rumah tumpangan sebagai transit sebelum dadah itu diseludup dan dihantar ke negara jiran melalui jalan laut.
“Kita sudah menjejaki sindiket ini sejak beberapa bulan yang lalu dengan mengesan dua lelaki Indonesia yang berperanan sebagai penghantar bekalan dadah dari Ulu Tiram ke Rengit.
“Setelah dadah disimpan di rumah transit itu, suspek lelaki tempatan yang berperanan sebagai tekong laut akan menyeludup bekalan dadah itu ke negara jiran. Polis mengekori mereka dari Johor Bahru dan hanya membuat serbuan ketika dadah itu dipindahkan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, telefon bimbit milik suspek dan wang tunai berjumlah RM1,300.
Kok Chin berkata, siasatan awal mendapati sindiket tersebut telah beroperasi sejak Februari tahun lalu.
Katanya, dadah yang ditemukan dalam sebuah beg yang disorokkan dalam sebuah plastik hitam itu dipercayai boleh digunakan oleh seramai 47,600 penagih jika terlepas ke pasaran.
“Pemeriksaan awal ke atas suspek mendapati hanya lelaki tempatan itu mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah. Ujian air kencing juga mendapati lelaki itu positif dadah.
“Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti sindiket rangkaian dadah ini dan tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa individu lain terlibat,” katanya.
Kesemua suspek direman selama lima hari bermula Isnin lalu hingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.