HULU TERENGGANU: Seorang polis bantuan Telekom Malaysia (TM) maut selepas motosikalnya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 53, Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi di Kampung Landas, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.50 tengah hari itu, mangsa, Mohd Riduan Mohd. Teh, 40, dari Felda Jerangau, Ajil meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superitendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Y15Z gagal mengelak pacuan empat roda jenis Ford Ranger dipandu pesara berusia 62 tahun.
“Kenderaan pacuan empat roda dari arah Ajil ke Bukit Besi itu tiba-tiba membelok ke kanan dan memasuki laluan mangsa.
“Jarak yang terlalu dekat menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak dan merempuh kenderaan di hadapannya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Adli berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut manakala pemandu pacuan roda yang berstatus orang kurang upaya (OKU) penglihatan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan(JPJ) 1987. – UTUSAN ONLINE