PN takut berbahas sampai tangguh sidang Parlimen, dakwa Pejuang Muda - Utusan Malaysia

PN takut berbahas sampai tangguh sidang Parlimen, dakwa Pejuang Muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) takut dan alah dengan sebarang bentuk perbahasan serta undian di Parlimen. 

Itu dakwaan Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Muda, Akif Rusli susulan kenyataan Pejabat Dewan Rakyat hari ini yang menangguhkan mesyuarat khas Dewan Rakyat menjelang hari terakhir persidangannya. 

Katanya, tindakan tersebut menunjukkan kerajaan lebih mengutamakan kepentingan masing-masing berbanding kemaslahatan rakyat dan negara melalui perbahasan di Dewan Rakyat. 

Justeru, kata Akif, jalan keluar bagi menyelesaikan kemelut negara adalah melalui Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang wajib dipimpin bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. 

“Kerajaan yang lemah ini pasti tidak akan dapat memfokuskan usaha untuk memulihkan permasalahan negara kerana jauh lebih mementingkan tembolok (kantung tempat menyimpan makanan) masing-masing.

“Mereka lebih memilih untuk kekal derhaka bersama PN dan mengetepikan suara rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat pada Isnin ini ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan.

Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin dalam satu kenyataan berkata, pemakluman itu dibuat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11 (3), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Penangguhan itu dibuat pada hari terakhir Dewan Rakyat bersidang secara khas selain Kerajaan Perikatan Nasional (PN) berdepan tekanan untuk membentang dan membahaskan status pembatalan Ordinan Darurat.

26 Julai lalu, Takiyuddin menjelaskan kerajaan Persekutuan telah membatalkan semua peraturan Ordinan Darurat pada 21 Julai lalu namun kenyataan itu mendapat bantahan pelbagai pihak yang disifatkan tidak melalui proses sewajarnya selain ‘membelakangkan’ Yang di-Pertuan Agong.

Terkini, Seri Paduka menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan yang telah dibuatkan di Parlimen bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat sedangkan pembatalan ordinan tersebut belum mendapat perkenan Baginda.

Untuk rekod, enam Ordinan Darurat yang diwartakan tahun ini iaitu Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021; Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (pindaan) 2021; Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja)(pindaan) 2021. 

Tiga lagi ordinan yang diwartakan ialah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021 [Berhubung berita palsu]; Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (Pindaan) 2021 [Berhubung kuasa untuk menggunakan Kumpulan Wang Disatukan tanpa melalui legislatif] dan Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (pindaan) 2021. – UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya