PETALING JAYA: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengumumkan bantuan sewa tiga bulan kepada Rakan Niaga dan pengendali perniagaan bermula Ogos hingga Oktober depan.
Ketua Perhubungan Libat Urus Strategik PLUS, Syed Mohammed Idid berkata, bantuan pengurangan sewa selama tiga bulan tersebut diberikan kepada semua Rakan Niaga dan pengendali perniagaan termasuk pengecualian sewa bulanan peniaga di R&R Gelang Patah (arah utara dan selatan) susulan penutupan sementara sempadan Malaysia-Singapura.
“PLUS juga akan melanjutkan pengecualian sewa bulanan selama dua minggu kepada Rakan Niaga di Selangor yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
“Pihak kami juga akan meneliti cadangan pembayaran berkala serta pengecualian caj bayaran lewat oleh peniaga,” katanya.
Menurut beliau, bantuan yang sama juga akan diberikan kepada pengusaha tempatan di R&R Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, kira-kira 40 peniaga di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gurun arah selatan dan utara di sini merayu PLUS memberikan moratorium bagi bayaran sewa gerai berikutan perniagaan mereka terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu.
Malah menurut mereka, terdapat beberapa peniagan di gerai tetap dan sementara telah ditutup kerana tidak mahu menanggung kerugian yang tinggi kerana kekurangan pelanggan.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, suasana di R&R Gurun arah selatan dan utara lengang dan kira-kira 10 gerai tetap serta sementara telah ditutup.
Syed Mohammed menyebut, PLUS akan konsisten dalam usaha membantu Rakan Niaga sejak pelaksanaan PKP Mac tahun lalu.
Beliau menambah, pengenalan fungsi ‘Order Di sini’ atau fungsi Pra-Pesanan menerusi aplikasi PLUS telah direka khusus sebagai pemudah cara bagi menggalakkan pembelian dalam talian serta pesanan bawa pulang di semua R&R.
“Pihak kami telah menganjurkan pelbagai program latihan dalam talian dan meningkatkan penggunaan teknologi bagi meningkatkan kebolehan Rakan Niaga mengadaptasi perniagaan mereka demi mendepani cabaran perniagaan disebabkan Covid-19”, katanya.