SEREMBAN: Perkhidmatan kutipan sisa pepejal oleh SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) beroperasi seperti biasa di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lapan mukim di daerah ini, bermula esok sehingga 22 Julai ini.
Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd. Norlisam Mohd Nordin berkata, lapan mukim berkenaan ialah Ampangan, Labu, Lenggeng, Pantai, Rantau, Rasah, Seremban dan Setul.
Menurutnya, penduduk di kawasan berkenaan hanya perlu menguruskan sisa secara berhemah dengan membungkus sisa domestik di dalam bungkusan beg plastik, diikat kemas dan melupuskannya ke dalam tong sampah beroda.
“Bagi sisa pukal, kitar semula dan sisa taman, penduduk hendaklah membungkus dengan kemas dan meletakkan sisa tersebut di tepi tong sampah beroda ketika kutipan satu kali seminggu.
“Bagi sisa taman, penduduk hendaklah memastikan sisa ranting pokok diikat kemas dan diletakkan di sebelah tong sampah beroda,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Norlisam berkata, perkhidmatan kutipan sisa pepejal bagi sisa domestik berjalan seperti biasa iaitu dua kali seminggu manakala bagi sisa pukal, kitar semula dan sisa taman dilakukan setiap satu kali seminggu. – UTUSAN ONLINE